Wad Pediatrik

Ramai Kanak-Kanak Jatuh Sakit Hingga Wad Pediatrik Mula Sesak, Katil Dan Ubatan Pula Semakin Tidak Mencukupi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dipetik dari sumber laporan akhbar Kosmo!, bulan Julai menyaksikan berlakunya peningkatan ketara kemasukan pesakit ke wad perubatan dan wad pediatrik (kanak-kanak) terutamanya di hospital-hospital yang mempunyai tenaga doktor pakar di negeri Kelantan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penggunaan katil di wad-wad telah melebihi kapasiti sehingga menyebabkan waktu menunggu pesakit untuk dimasukkan ke wad meningkat melebihi 4 jam!

JKNK telah mengambil langkah dengan mengoptimumkan penggunaan katil di hospital-hospital melalui sistem koordinasi katil berpusat dan koordinasi rujukan secara pengezonan bagi mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Sebelum ini, satu hantaran di Facebook telah tular yang mengatakan semua wad pediatrik di sekitar Kota Bharu ketika ini dilaporkan penuh dan hampir tiada katil untuk pesakit baharu.

Antara hospital terbabit adalah HRPZ II, Hospital Pakar Perdana KPJ, Kota Bharu Medical Centre (KBMC) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Dalam hantaran tersebut, pihak pengurusan HRPZ II dikatakan terpaksa meletakkan katil di tengah laluan di dalam wad terbabit bagi menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai.

Wad Pediatrik

Turut dilaporkan oleh Kosmo! mengenai situasi kesesakan yang juga berlaku di Johor yang melibatkan wad pediatrik di hospital awam susulan peningkatan kes influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dalam kalangan kanak-kanak.

Wad pediatrik di semua 13 hospital awam di Johor dilaporkan mengalami kesesakan berikutan peningkatan 5% kes jangkitan ILI dan URTI dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan rawatan susulan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang mengumpulkan data terbaharu situasi terkini di wad pediatrik dan langkah berjaga-jaga turut diambil susulan peningkatan kadar penggunaan katil bagi membolehkan persediaan dilakukan jika gelombang baharu COVID-19 berlaku.

Wad Pediatrik

Personaliti perubatan popular Dr Malar Santhi Santherasegapan melalui laman Facebook Celoteh Dr Malar pula menulis – “Saya tak dapat nak ceritakan dengan perkataan betapa penuhnya setiap hospital dan klinik ketika ini.”

Menurutnya lagi, “Jabatan kecemasan terlampau sesak, katil ditambah-tambah sehingga memenuhi ruang laluan, sehingga ubat-ubatan habis, botol IV drips tak cukup, staff tak boleh tampung, dan macam-macam lagi krisis…”.

Hantaran Dr Malar tersebut turut menyatakan kerisauannya mengenai situasi kritikal dan krisis perubatan yang melanda Malaysia ketika ini.

“Saya ingat Lembah Klang je yang menghadapi krisis katil hospital tak cukup ni, rupanya seluruh negara pun sama nampaknya.

“Sehingga saya rasa perlu ada satu PKP khas untuk meredakan penularan jangkitan Influenza di seluruh negara.

“Entahlah mungkin tutup sekolah dan taska untuk 2 minggu dan benarkan WFH untuk golongan ibu bapa ataupun buatlah sesuatu yang boleh meredakan keadaan ini.

“Kita nazak guys, Malaysia nazak, itulah realiti!!,” ujar Dr Malar.

Wad Pediatrik

BACA: ‘Dah 2022 Tapi Wad Rapat, Kena Bawa Kipas’ – Netizen Luah Kecewa Dengan Keadaan Hospital Masih Daif

Sumber: Kosmo!, Facebook Celoteh Dr Malar