Personaliti TV Hilang

Bukan Sengaja Lambatkan, Ini Penjelasan Polis Kenapa Baru Hebahkan Kehilangan Bekas Personaliti TV

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Berita kehilangan Zalina Shaharah Azman, 58, yang didedahkan polis pada Isnin menggemparkan apabila bekas personaliti TV3 itu gagal dijejaki sejak November tahun lalu.

Pelbagai spekulasi dibuat tentang kehilangan Zalina sehinggakan rakan baiknya, Senator Datuk Ras Adiba Radzi bertindak melakukan misi pencariannya setelah mengetahui berita itu.

Pendedahan itu juga menimbulkan persoalan orang ramai mengapa polis mengambil masa sehingga lapan bulan sejak kehilangan mangsa sebelum hebahan dikeluarkan.

Ia bukanlah disengajakan untuk melambatkan hebahan. Memetik sumber media, polis sebenarnya telah pun melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Zalina termasuk saling bertukar maklumat dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat telekomunikasi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pertukaran maklumat itu mengambil masa dan membabitkan proses tertentu untuk mendapatkan keputusannya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa sebelum pertukaran maklumat dilakukan, polis sudah memulakan siasatan sebaik saja menerima laporan kehilangan mangsa daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lalu.

“Pertukaran maklumat dengan beberapa agensi seperti JIM, KKM, SSM dan syarikat telekomunikasi sudah dilakukan.

“Antaranya, siasatan mendapati, tiada pergerakan ke luar negara oleh mangsa (Zalina) berkenaan, malah tiada rawatan perubatan diterima mangsa di mana-mana hospital, nombor telefon mangsa juga tidak aktif sejak kehilangannya.

“Oleh itu, selepas usaha berkenaan tidak membuahkan hasil, pihak polis bertindak mengeluarkan hebahan itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Justeru, hebahan Orang Hilang kepada umum adalah langkah terakhir dalam usaha menjalankan siasatan kes orang hilang.

Personaliti TV Hilang

Polis memaklumkan mereka mengambil masa untuk membuat semakan dengan beberapa agensi berkaitan dalam usaha mengesan mangsa sepanjang tempoh tersebut.

“Perkara ini perkara biasa dalam siasatan kes orang hilang dan hebahan ini juga membolehkan orang awam menyalurkan maklumat.

“Usaha mengesan mangsa memang ada dijalankan selama ini, cuma kita melipatgandakan lagi usaha berkenaan,” katanya.

Maklumat terkini yang diketahui, seorang individu mendakwa seorang wanita seperti Zalina pernah muncul di kafe miliknya di Shah Alam dalam keadaan seperti cemas dan mengigil ketakutan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, polis belum menerima sebarang laporan daripada pihak yang membuat dakwaan sedemikian. Dalam pada itu, polis percaya mangsa masih berada di dalam Malaysia.

Sumber: Berita Harian, MStar