Mat Rempit

Mat Rempit – Kerajaan Digesa Laksana Hukuman Lebih Berat, Penjara Mandatori!

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pakar keselamatan jalan raya di Malaysia menggesa agar kerajaan mengenakan hukuman penjara mandatori kepada golongan Mat Rempit atau mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram.

Mereka turut bersetuju bahawa budaya ‘merempit’ yang kini seolah-olah sudah tidak mampu lagi untuk dikawal adalah amat merbahaya sehingga menyebabkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Wong Shaw Voon ketika mengulas tragedi yang mengakibatkan empat orang maut apabila Mat Rempit hilang kawalan di Pulau Pinang pada Ahad lalu berkata, pihak berkuasa perlu mengukuhkan lagi peraturan lalu lintas.

Beliau berpendapat, pembatalan lesen motosikal Mat Rempit tidak akan menjadi penyelesaian yang berkesan kerana mereka masih boleh berlumba tanpa menggunakan lesen.

“Mat Rempit yang menyebabkan kematian di jalan raya kerana kegiatan lumba haram harus dikenakan hukuman penjara mandatori kerana mereka perlu sedar kesan buruk yang mereka timbulkan. Mereka sengaja berlumba-lumba untuk keseronokan walaupun mengetahui bahawa jalan raya bukanlah litar perlumbaan.

“Membatalkan lesen mereka tidak akan memberi kesan kerana mereka sudah menyalahi peraturan lalu lintas.

“Lumba haram di jalan raya adalah perkara yang sangat serius berbanding mereka yang memandu tanpa lesen,” ujar Dr Wong kepada The Sun Daily.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Law Teik Hua pula berkata lumba haram bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada pelumba, malah turut meletakkan orang awam yang lain dalam risiko kecederaan dan kematian.

Beliau berkata hukuman penjara mandatori bagi pelumba haram akan menjadi pilihan terbaik untuk menghapuskan gejala sosial tersebut.

“Ia akan memberi pengajaran kepada pelumba haram yang lain kerana sanggup mementingkan diri sendiri serta menyebabkan penderitaan kepada orang lain,” tambahnya.

Selain menyokong hukuman penjara mandatori dan membatalkan lesen motosikal, beliau berkata sekolah memandu juga harus memainkan peranan dalam membentuk komuniti jalan raya yang berdisiplin dengan menekankan keburukan aktiviti lumba haram.

“Mat Rempit boleh dihukum penjara mandatori di bawah Akta Gangguan Awam jika tidak melibatkan kematian. Sekiranya berlaku kematian, mereka boleh didakwa atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ini adalah masalah sosial yang rumit yang perlu dilihat dari pelbagai sudut, termasuk dari sudut agama, masyarakat, ekonomi dan teknologi,” jelas Dr Law.

Hukuman penjara mandatori walau bagaimanapun masih lagi berkemungkinan tidak berjaya untuk menyelesaikan isu Mat Rempit ini.

1 Mat Rempit

BACA: Dikritik Netizen Jemput ‘Ikon Permotoran Anak Muda’ Beri Motivasi Sekolah, Ini Respon Penganjur

Sumber: The Sun Daily