Trend Minta Dana Awam Wang Jaminan

Pandangan Peguam Tentang Trend Mohon Dana Awam Untuk Duit Jaminan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sepasang kekasih yang tular di media sosial atas tuduhan mempersenda Islam dijangka akan dibebaskan dalam masa terdekat selepas melunaskan wang ikat jamin RM20,000 setiap seorang.

Pada Jumaat lalu, Siti Nuramira Abdullah dan V Alexander Navin yang gagal membayar wang jaminan terpaksa memohon dana awam ekoran tidak mampu membayar wang jaminan yang tinggi.

Pasangan berkenaan bagaimanapun mampu melunaskan wang ikat yang dikenakan selepas dikumpulkan melalui kumpulan memperjuang hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) hasil sumbangan orang ramai dari dalam dan luar negara.

Sebenarnya, ini bukanlah kes pertama yang dilihat Orang Kena Tuduh (OKT) meminta dana awam bagi tujuan jaminan.

Seorang peguam yang sering mengulas isu tular di media sosial, Nor Zabetha Muhammad Nor berkongsi pandangan mengenai isu berkenaan.

“Pertama, bagi meraih sokongan dan simpati. Betapa sistem kehakiman telah menganiaya mereka. RM40,000, RM50,000 atau lain-lain, itu jumlahnya banyak. Bagaimana hendak membayar? Kemudian dari marah, timbul rasa kasihan dari segelintir orang. Barangkali boleh ubah perspektif dari mereka yang salah menjadi mereka yang dianiaya kerana sistem keadilan yang melampau.

“Kedua, setelah berjaya mengumpulkan wang tersebut dari orang ramai, ianya sebagai satu pembuktian bahawa walaupun telah didakwa dan prosiding berjalan di mahkamah tetapi masih ramai bersama mereka dan masih ada yang menyokong. Bukan mereka sahaja tidak setuju tetapi ada yang lain tidak setuju mereka salah. Mereka tidak bersendirian, ramai yang menyokong.

Trend Minta Dana Awam Wang Jaminan

Ulas Nor Zabetha, permintaan begitu lebih kepada satu penyampaian atau ‘statement’ atau pembuktian.

Wang jaminan berbeza dengan wang denda. Wang jaminan adalah satu jaminan untuk menjamin tertuduh terus datang ke mahkamah.

“Penjamin kebiasaanya bagi sesuatu ada seorang penama sahaja melainkan diarahkan lebih oleh mahkamah, paling kuat pun dua orang dalam kes warga asing.

“Penjamin ini akan menjamin tertuduh selalu hadir tarikh-tarikh mahkamah. Jika tertuduh cabut lari, maka duit jamin hangus,” katanya.

Wang jaminan yang dibayar kepada pihak mahkamah akan dipulangkan semula kepada penjamin selepas selesai perbicaraan kes sama ada secara tertuduh dilepaskan dan dibebas atau dibebas tanpa dilepaskan atau mengaku salah atau didapati bersalah.

Denda perlu dibayar jika salah tetapi duit jamin akan dipulangkan.

Meskipun begitu, timbul persoalan tentang proses selepas kutipan wang jaminan itu dipulangkan. Sebaiknya, wang tersebut apabila dapat semula, sepatutnya diserahkan semula kepada orang yang berhak.

Sumber: Facebook Nor Zabetha, Buletin TV3