JAPAS

JAPAS Berfungsi Jaga Kesucian Agama Islam Dari Dihina Atau Dipersenda

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) yang ditubuhkan berfungsi untuk menjaga kesucian agama Islam daripada dihina ataupun dipersendakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jawatankuasa di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dipengerusikan oleh dirinya sendiri serta turut dianggotai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Fungsi JAPAS adalah bagi memastikan akidah umat Islam tidak terpesong dengan tindakan segelintir mereka yang mempersendakan dan menghina agama Islam sesuka hati.

Sejak kebelakangan ini, agama Islam kerap dihina dan dipersenda secara terbuka di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.

Ketika diminta mengulas mengenai kes seorang pelawak wanita beragama Islam yang membuat persembahan komedi yang didakwa menghina agama di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Idris Ahmad menjelaskan mengenai peranan JAPAS.

“Apabila terima laporan (menghina agama Islam), kita akan bertindak dan akan hubungi mereka ini kerana kita mahu selamatkan akidah mereka. Orang Islam dia kena ingat, kalau permainkan soal itu (agama), ia melibatkan akidah.

“Kalau mereka bercakap itu dalam keadaan jahil, kita (JAPAS) akan panggil dan nasihatkan mereka, namun jika masih degil, maka tindakan akan dikenakan,” katanya pada sidang media dalam satu acara rasmi.

Menurutnya lagi, rakyat negara ini diingatkan agar tidak melakukan perbuatan menghina agama Islam kerana ia merupakan isu yang amat sensitif sekali gus boleh menggugat keharmonian negara.

“Orang Melayu, Islam, walaupun dia solat tidak cukup lima waktu tetapi bila melibatkan soal hina agama Islam, mereka akan pertahankan agamanya,” tambahnya lagi.

JAPAS

BACA: ‘Hafal Al-Quran Belum Tentu Sempurna Dan Faham Islam’ – Ridhuan Tee

Sumber: astro AWANI