Calon SPM

Kes Salah Laku Calon SPM 2021 – Hukuman ‘BATAL’ Adalah Zalim? Peguam Ini Kongsi Pendapat

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Nasib 15 pelajar Sekolah Sultan Alam Shah yang dibatalkan keputusan mata pelajaran Sejarah Kertas 2 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 telah mengejutkan ramai pihak.

Walaupun telah dibuat rayuan sebanyak dua kali, tindakan membawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan tersebut telah menyebabkan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia tetap kekal dengan keputusan memberikan mereka status ‘BATAL’ bagi mata pelajaran Sejarah.

Hukuman yang menyebabkan 15 pelajar berkenaan tidak layak untuk mendapat sijil SPM, perlu menduduki peperiksaan ulangan, tidak layak memohon UPU dan biasiswa serta tidak layak memohon masuk ke mana-mana universiti tersebut dilihat sebagai zalim dan kini telah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

Ramai yang berasa simpati terhadap mereka dan beranggapan hukuman tersebut tidak setimpal kerana mereka bukannya didapati meniru manakala Ketua Pengawas Peperiksaan turut memainkan peranan dalam menimbulkan kekeliruan yang berlaku pada waktu itu.

Peguam Wan Azliana Wan Adnan juga menganggap hukuman membatalkan keputusan peperiksaan tersebut adalah keterlaluan dan berharap keadilan sebenar dapat diberikan kepada mereka.

Ikuti pendapat yang dikongsikan oleh Wan Azliana di Facebooknya berikut yang dilihat dari sudut perundangan:

1 Calon SPM

KES 15 PELAJAR SPM 2021 GAGAL MENDAPAT SIJIL SPM

Tular kes mengenai 15 pelajar SPM Sekolah Menengah Sultan Alam Shah telah didakwa membawa telefon bimbit ke dalam bilik peperiksaan semasa peperiksaan SPM Sejarah. Sebelum saya memberi pandangan peribadi, saya senaraikan dulu kronologi berdasarkan laporan media dan akhbar bagi memudahkan masyarakat memahami kes.

Pada 9/3/2022 pelajar mengambil peperiksaan SPM subjek Sejarah. Dilaporkan bahawa hari itu Ketua Pengawas tidak memberi peringatan kepada pelajar mengenai larangan membawa telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan.

Ketika peperiksaan berlangsung, Ketua Pengawas telah membuat pengumuman kepada pelajar yang terbawa telefon bimbit agar menyerahkan telefon bimbit kepada pengawas dan berjanji janji tidak akan mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar tersebut. 15 pelajar tersebut dengan rela hati dan atas janji Ketua Pengawas tersebut telah menyerahkan telefon bimbit tersebut.

(https://malaysiadateline.com/15-pelajar-cemerlang-gagal-dapat-sijil-spm-kerana-jujur-mengaku-bawa-telefon-bimbit/)

Pada 16/6/2022 keputusan SPM diumumkan.

Jawatankuasa Rayuan Kes Salah Laku Calon Peperiksaan SPM 2021 Lembaga Peperiksaan, telah bermesyuarat pada 23/6/2022 bagi membincangkan rayuan yang telah dibuat. Keputusan status BATAL ke atas mata pelajaran Sejarah bagi kesemua 15 calon yang terlibat kekal.

Rayuan kedua telah dibuat dan kali ini, Jawatankuasa Khas Rayuan Kes Salah Laku Calon Peperiksaan SPM 2021 Lembaga Peperiksaan telah menolak rayuan pada 3/7/2022 dan telah memutuskan untuk mengekalkan status BATAL tersebut.

Jika benar mengenai dakwaan oleh pelajar-pelajar bahawa Ketua Pengawas telah gagal dan/atau cuai membuat pengumuman berkenaan larangan membawa bahan terlarang ke dalam dewan peperiksaan, itu bermakna Ketua Pengawas telah melanggar GARIS PANDUAN DAN ARAHAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2021- Bahagian C para 2.

Pada hemat saya, jika benar Ketua Pengawas gagal dan/atau cuai memberi peringatan sebelum bermula peperiksaan, itu adalah satu kesalahan dan kecuaian di pihak Ketua Pengawas.

Walaupun pelajar-pelajar telah diberikan peringatan mengenai kesalahan membawa telefon bimbit ke dewan peperiksaan pada hari-hari lain, itu tidak bermakna peringatan oleh Ketua Pengawas tidak perlu diberikan pada hari kejadian tersebut.

📍Tujuan larangan membawa telefon bimbit adalah untuk menghindar berlakunya peniruan oleh pelajar. Di dalam kes 15 pelajar ini, adakah terdapat bukti mereka telah meniru mengunakan telefon bimbit tersebut? Isu utama adakah mereka meniru menggunakan telefon bimbit tersebut untuk menjawab peperiksaan sejarah tersebut. Jika tiada, Kementerian Pendidikan Malaysia tiada alasan atau sebab untuk membatalkan keputusan peperiksaan mereka.

Hukuman batal keputusan peperiksaan atas kesalahaan membawa telefon bimbit dan tidak memberi mereka Sijil Peperiksaan adalah satu hukuman zalim. Saya difahamkan mereka adalah di kalangan pelajar cemerlang dan ada di antara mereka mendapat 8A. Saya juga difahamkan bahawa mereka tidak mempunyai masalah disiplin sebelum ini.

Ingin saya berkongsi mengenai hukuman yang telah dijatuhkan dalam beberapa kes buli, ada kes pembuli hanya dijatuhkan hukuman oleh pihak sekolah, digantung sekolah selama 14 hari, walaupun mangsa buli cedera parah dan mengalami kecederaan kekal. Tidak setimpal hukuman dengan kesalahan dan perbuatan yang dilakukan oleh pembuli pelajar tersebut.

Garis panduan kaedah hukuman terhadap pelajar sekolah harus disemak semula. Setiap kesalahan ada hukuman. Tapi hukuman hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Itulah prinsip natural justice (keadilan asasi).

Bagi 15 pelajar yang terlibat, jika mereka merasakan telah berlaku ketidakadilan, sekarang apa yang mereka perlu buat ialah memfailkan Semakan Kehakiman (judicial review) di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Jawatankuasa Khas Rayuan Kes Salah Laku Calon Peperiksaan SPM 2021 Lembaga Peperiksaan telah menolak rayuan mereka. Mereka harus failkan semakan tersebut dalam masa 3 bulan dari tarikh keputusan tersebut diterima.

Saya doakan supaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera. Ini melibatkan masa depan pelajar-pelajar tersebut. Sesiapa yang terlibat secara langsung atau tidak, jangan tutup mata, telinga dan mulut, sila tampil memberi kesaksian dan membantu supaya keadilan dapat diberikan.

Wallahua’lam.

#bebelanpeguam

BACA: Ranking Antara Sekolah: Perlukah Kementerian Pendidikan Hebahkan Kepada Umum?

Sumber: Facebook Wan Azliana Wan Adnan, MALAYSIA dateline