Ibu Curi Paket Milo

‘Atas Dasar Kemanusiaan’ – Usahawan Hartanah Bantu Ibu Curi Dua Paket Milo Tangguh Hukuman

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang, Terengganu atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga ibu kepada empat orang anak itu dikesan melakukan perbuatan mencurigakan itu oleh pemilik pasar raya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun, nasib wanita itu mendapat simpati oleh seorang usahawan hartanah, Muhammad Azlan Al-Amin.

Beliau mengambil inisiatif mendapatkan khidmat guaman buat terhadap wanita itu bagi mendapatkan permohonan penangguhan hukuman.

Ujarnya, mereka bersepakat untuk membantu tertuduh atas dasar kemanusiaan walaupun wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau dan penagih dadah.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Azlan menyatakan hasrat itu dibuat atas dasar simpati terhadap nasib anak-anak tertuduh yang masih kecil dan dalam masa sama tetap tidak menyokong perbuatan serta kesalahan wanita terbabit.

“Saya sama sekali tidak menyokong tindakan salah wanita terbabit yang disabitkan kesalahan mencuri, salah tetap salah! Apatah lagi beliau terjebak masalah sosial yang tidak sepatutnya!

“Cuma saya simpati kepada nasib anak-anak beliau yang masih kecil dan berharap dapat dipinda kepada hukuman lain yang mudah mudahan ianya menjadi satu pengajaran kepada beliau,” katanya.

Ibu Curi Paket Milo

Menerusi laporan media, tertuduh mempunyai tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya sebelum ini pada tahun 2019 dan 2021.

Bagaimanapun, Azlan mengatakan bahawa beliau berhasrat untuk membantu ibu terbabit bagi membina kehidupan baharu selain memberi bimbingan sewajarnya agar menjadi insan berguna.

“Setiap manusia tak sunyi dari salah silap. Salah tetap salah, dan mahkamah yang mulia berhak menjatuhkan hukuman sewajarnya sebagai satu bentuk keadilan sekaligus pengajaran kepada pesalah.

“Cuma saya berharap, beliau diberi sedikit ruang dan bimbingan oleh kita semua untuk beliau berubah menjadi insan berguna.

“Jangan kita hanya melihat kepada bilis-bilis saja yang patut menerima hukuman, sedangkan berapa banyak lagi jerung-jerung di luar sana yang masih bebas meskipun berjuta atau berbilioan duit negara “digelapkan”

“Pada wanita ini, beliau perlu dibimbing. Jika kita semua terus mengecam dan tidak menyokong wanita ini memulakan serta membina hidup baru, sampai bila pun dia akan terus berada dalam kegelapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak salahkan hukuman yang ditetapkan hakim mahkamah dan perlu menjunjung tinggi kemuliaan institusi mahkamah dan sistem kehakiman negara kita.

Ibu Curi Paket Milo

BACA: Ibu Ditahan Curi Makanan Dan Ubat, Tindakan Ketua Polis PJ Ini Tarik Perhatian Netizen

Sumber: Facebook Azlan Al Amin