Vape Wanita

Lebih Ramai Golongan Wanita Di Malaysia Kini Gemar Hisap Vape

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tinjauan yang dibuat ke atas penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape di kalangan golongan muda di negara ini mendapati terdapat peningkatan penggunaan vape terutamanya di kalangan wanita.

Menurut laporan dari Sinar Harian, semakin ramai golongan wanita dan anak gadis kini ketagih dengan peranti tersebut.

Vape Wanita

Meskipun banyak risiko tentang penggunaan vape telah dihebahkan, masih ramai yang belum sedar malah kini semakin meningkat pula penggunaan vape di kalangan pelajar.

Aktivis Anti Tembakau dan Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, jumlah penggunaan vape di kalangan golongan muda juga telah meningkat dua kali ganda!

“Penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan generasi muda ini telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu. Walaupun bahaya vape dan e-rokok ini kerap disebarkan, masih ramai yang tidak mengendahkannya.

“Mereka tidak sedar bahaya yang bakal mereka hadapi kelak. Lebih teruk, ada yang menggunakan cecair perasa yang mengandungi nikotin,” jelas Subbarow.

Vape juga kini dijual dengan pelbagai perisa dan ia menjadi faktor utama penjualannya lebih laris dan diterima ramai.

Menurutnya lagi, banyak gerai di tepi jalan juga kini menjual alat vape dan e-rokok pada harga serendah RM50.

“Faktor senang didapati selain harga yang tidak terlalu mahal menyebabkan mereka sering menghisap vape. Jika kita lihat, merata-rata orang jual vape malah ada yang menjualnya secara ansuran, termasuk di kawasan luar bandar,” tambahnya lagi.

Sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membendung masalah tersebut, lebih ramai generasi muda dijangka akan terlibat dengan penagihan vape pada masa akan datang.

“Tindakan undang-undang mesti diambil terhadap premis-premis ini selain KKM perlu mengharamkan vape dan e-rokok untuk generasi yang sihat.

“Mereka tahu risiko terhadap kesihatan mereka namun tetap juga mahu menghisapnya. Penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan remaja perempuan terutamanya pelajar adalah satu krisis,” tegas NV Subbarow.

BACA: Boleh Sebabkan Kematian Bayi Secara Tiba-Tiba, Bahaya ‘Vaping’ Bukan Kepada Penggunanya Sahaja

Sumber: Sinar Harian