Respon M. Nasir Lagu Tiara

Penyanyi Seberang Rosakkan Lagu Tiara? Ini Respon Tenang M. Nasir

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Belakangan ini, menjadi trend apabila lagu-lagu balada rock malar segar era 80-an dan 90-an dinyanyikan semula penyanyi baharu.

Bagaimanapun, perkara itu menjadi perdebatan peminat dalam laman sosial selepas seorang penyanyi popular dari Indonesia, Raffa Affar dikatakan telah merosakkan melodi dan keaslian sebuah lagu berjudul Tiara dendangan kumpulan Kris.

Penyanyi yang pernah mencipta fenomena dengan lagu tular, Cinta Sampai Mati itu telah mengecewakan peminat lagu terbabit apabila tular satu kilp video yang mana penyanyi berkenaan mendendangkan lagu itu dalam sebuah program hiburan rancangan siaran langsung.

Raffa dikritik kerana hasil nyanyiannya secara siaran langsung itu jauh berbeza dengan sesi rakaman.

Berdasarkan komen yang ditinggalkan, peminat setia Raffa berkata berkemungkinan beliau gugup kerana ini kali pertama Raffa membuat persembahan skala besar di depan umum.

Respon M. Nasir

Meskipun ramai dalam kalangan peminat mengkritik cara olahan lagu Tiara yang dianggap sebagai ‘nafas baru’ itu, pencipta lagu terbabit mengatakan tidak berkecil hati dan menganggap perkara sedemikian sebagai isu yang tidak perlu terlalu diperbesar-besarkan.

Beliau mengakui lagu dalam versi ‘cover version’ itu mendapat tontonan yang lebih tinggi berbanding lagu asal disebabkan peredaran zaman.

“Versi cover atau nyanyian semula sudah biasa terjadi dalam industri, jadi tiada masalah, penyanyi dalam negara pun buat sebegitu.

“Komen dari netizen merupakan pendapat peribadi mereka sama ada hendak marah atau tidak,” kata Datuk M. Nasir.

Tambah M. Nasir, beliau tiada masalah dengan dendangan artis dari Seberang itu namun mengakui karyanya itu sedikit rosak.

“Rosak lagu, ya lah sikit, tetapi perkara itu tetap akan berlaku dan kita tidak dapat kawal.

“Kita kalau hendak buat sesuatu tindakan boleh, tetapi saya ingat dalam keadaan sekarang kita tak perlu perbesarkan kerana mereka ini kawan kita juga,” katanya.

BACA: Lagu Sekarang Terlalu Kejar Pendengar Hingga Kurang Kreatif, Tiada Eksperimen – M. Nasir

Tidak dinafikan, lagu Tiara sangat hebat sehingga setelah 30 tahun tetap diterima halwa telinga pelbagai generasi.

Respon M. Nasir Lagu Tiara

Fakta menarik tentang lagu Tiara:

1. Lagu ini berasal daripada kumpulan Kris, satu band rock era 90-an dan dipetik dari album sulung mereka.

2. Lagu ini dianggap antara ‘keajaiban sekali seumur hidup’ (one hit wonder) terbesar dalam arena muzik tanah air.

3. Menjadi lagu paling lama bertahan dalam Carta Pujaan 10 Nescafe, iaitu carta muzik mingguan paling popular di akhbar-akhbar selama 10 minggu berturut-turut pada tahun 1991.

4. Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh M. Nasir dan beliau sendiri mengakui ini adalah antara mahakarya terbaik pernah dihasilkannya.

5. Menduduki tempat ke-3 dalam Anugerah Juara Lagu ’91 (tempat pertama Mega ‘Takdir Dan Waktu’) selain lirik terbaik.

Sumber: Awani, Music Addicts Malaysia