China Tuntut Bulan Hak Miliknya

NASA Dakwa China Mahu Tuntut Bulan Jadi Hak Miliknya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Program angkasa lepas China semakin pesat berkembang sejak Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan negara itu melancarkan roket Long March 1 untuk menghantar sebuah satelit mengelilingi bumi pada tahun 1970.

Ketika itu misi negara berkenaan ke angkasa lepas masih ketinggalan dari Amerika Syarikat yang sudah menempa sejarah apabila berjaya menghantar dua angkasawan ke bulan pada Julai 1969.

Kini mereka giat melakukan misi angkasa lepas dalam usaha menjadi kuasa besar angkasa lepas.

Bagaimanapun, baru-baru ini Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Bill Nelson menyatakan China mahu menuntut bulan sebagai haknya.

Nelson yang juga merupakan bekas senator Amerika Syarikat membuat kenyataan itu dalam temu bual dengan akhbar Bild di Jerman.

Katanya, penerokaan angkasa lepas China harus menjadi kebimbangan semua pihak.

Beliau mendakwa Beijing akan melakukan misi mendarat di bulan dan akan menyatakan ia adalah miliknya.

Tambahnya, China akan menggunakan pangkalan di bulannya untuk mengkaji kemungkinan menembak jatuh satelit negara lain.

Namun, Nelson tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya itu.

China sebelum ini menyatakan bahawa ia merancang untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang tahun 2025 dan bertapak di sana menjelang tahun 2035 melalui kerjasama dengan Rusia.

BACA: Dakwa Wujud Hidupan, Rusia Terus ‘Claim’ Planet Zuhrah Milik Mereka

Beijing menghantar sebuah kapal angkasanya untuk mendarat di bulan pada tahun 2020.

China Tuntut Bulan Hak Miliknya

Amerika Syarikat juga mempunyai rancangan yang sama termasuk menubuhkan pangkalan di bulan.

BACA: Matahari Buatan China, Benarkah Ia Melawan Ciptaan Tuhan?

Sumber: Sinar Harian