Kisah Arkitek Lantai Masjidil Haram Masjid Nabawi

Kisah Arkitek Di Sebalik Pemasangan Lantai Sejuk Masjidil Haram Dan Masjid Nabawi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bagi mereka yang pernah menunaikan umrah atau haji sudah pasti akan menyedari mengenai kesejukan pada lantai marmar di Masjidil Haram dan sekitar Kaabah di Mekah.

Pernah menimbulkan perdebatan orang ramai mengenai di sebalik kesejukan lantai berkenaan walaupun ketika cuaca panas melanda bandar suci itu.

Menurut Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci, punca sebenar lantai di masjid berkenaan sejuk adalah disebabkan marmar yang kerajaan Arab digunakan.

Lantai yang dilihat seolah-olah bercahaya jika dilihat dari satelit itu merupakan marmar Thassos yang diimport dari Greece.

Ia dibawa oleh seorang arkitek bernama Dr Muhammad Kamal Isma’eel yang berasal dari Mesir. Beliau merupakan arkitek pertama yang melaksanakan perancangan projek pembesaran masjid (Haramain) di Mekah dan Madinah.

Kisah Arkitek Lantai Masjidil Haram Masjid Nabawi

Muhammad Kamal sendiri telah mencari jenis marmar terbaik untuk dipasangkan di lantai masjid. Beliau telah memilih marmar Thassos yang hanya terdapat di satu bukit kecil di sebuah pulau bernama Thassos.

Marmar tersebut dikatakan mampu melantunkan sinar matahari dan mengurangkan haba panas. Matlamatnya adalah untuk membeli dengan kadar secukupnya bagi kegunaan Masjidil Haram yang mana ia memerlukan separuh daripada bilangan yang tersedia di lombong itu.

Selepas 15 tahun, kerajaan Arab Saudi memintanya mencari batu marmar seperti di Masjidil Haram untuk dipasangkan pula di Masjid Nabawi.

Ketika itu, beliau merasakan permintaan tersebut sukar kerana hanya satu tempat sahaja di Bumi untuk mendapatkan jenis marmar berkenaan iaitu di tempat yang sama semasa membelinya untuk pembinaan Masjidil Haram.

Kisah Arkitek Lantai Masjidil Haram Masjid Nabawi

Beliau pergi ke syarikat yang sama di Greece dan bertanya kepada pengarahnya mengenai batu marmar itu. Bagaimanapun, jawapan yang diterima membuatkan beliau berasa sedih kerana batu marmar itu telah habis terjual.

Sebelum meninggalkan pejabat, Muhammad Kamal meminta seorang pekerja di situ mencari maklumat siapakah pembeli batu marmar selebihnya.

Kata pekerja itu, agak sukar mendapatkan maklumat memandangkan ia telah pun dibeli pada 15 tahun yang lepas. Beliau sempat bertanya pada diri sendiri mengapa ingin tahu siapakah pembelinya.

Beberapa jam sebelum berangkat pulang, beliau menerima panggilan telefon oleh pekerja terbabit yang menjumpai maklumat pembeli.

Rupa-rupanya, pembeli batu marmar itu dibeli oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Arab Saudi.

Beliau berjumpa dengan pemilik syarikat yang membeli batu marmar itu untuk mengetahui apa yang dilakukannya dengan batu tersebut.

Namun, pemilik syarikat itu menjawab tidak mengingatinya. Apabila memeriksa di gudang syarikat, batu marmar putih itu masih tersimpan dan belum pernah digunakan lagi.

Muhammad Kamal terus menagis dan menceritakan kisah yang dilaluinya kepada pemilik syarikat itu. Beliau kemudian mahu membeli kesemua batu marmar tersebut dan meminta pemilik itu menulis bayaran yang dikehendaki.

Apabila pemilik mengetahui tujuan pembelian batu marmar itu untuk pemasangan lantai di Masjid Nabawi, dia menolaknya walaupun satu dirham dan sebaliknya berkata akan mengabdikan semua marmar itu ke jalan Allah.

Rupa-rupanya, pembeli itu ditakdirkan oleh Tuhan untuk membeli batu marmar tersebut tanpa mengetahui tujuan sebenar lalu menyimpannya di dalam gudang selama bertahun-tahun.

BACA:Rahsia Di Sebalik Sistem Audio Yang Tak Pernah Gagal Di Masjidil Haram

Sumber: Al Buruj Press