
Malaysia Pengeluar Al-Quran Kedua Terbesar Di Dunia
Mungkin ramai yang tidak tahu, Malaysia sebenarnya merupakan pengeluar al-Quran yang kedua terbesar di dunia! Masya-Allah. Satu pencapaian yang amat membanggakan.
Terletak di Putrajaya, Kompleks Nasyrul Quran merupakan pusat percetakan dan pengeluaran al-Quran yang kedua terbesar selepas Kompleks King Fahd yang terletak di Madinah, Arab Saudi.
Kompleks Nasyrul Quran dikatakan mampu memenuhi permintaan domestik dan global terhadap Al-Quran ketika umat Islam di seluruh dunia ketika ini terus bertambah dan dijangka mencecah 3 bilion menjelang 2050 nanti.
Lokasinya yang terletak di Presint 14, Putrajaya dibina di atas tapak seluas 5.5 ekar yang melibatkan kos sebanyak RM60 juta.
Bangunan Kompleks Nasyrul Quran sangat indah dan dipenuhi dengan perhiasan yang cantik dari ayat-ayat al-Quran dan artifak Islam.
Dengan kelengkapan yang moden dan serba canggih, Kompleks Nasyrul Quran mampu untuk mencetak 1 juta naskhah al-Quran setiap tahun!
Pelbagai versi pencetakan al-Quran yang berbeza yang boleh didapati dari seluruh dunia juga terdapat di kompleks ini.
Pelawat juga berpeluang untuk melihat sendiri pelbagai jenis tulisan dan kaedah pencetakan yang digunakan untuk menghasilkan al-Quran dari rantau dan negara lain di kompleks ini.
Namun, bagi menjaga kebersihan dan kesucian al-Quran di sini, sebelum dibenarkan untuk memasuki kompleks ini bagi mengunjungi kawasan pameran, pelawat perlu menanggalkan kasut terlebih dahulu.
Pelbagai peralatan dan proses berbeza bagi mencetak dan menghasilkan naskhah al-Quran boleh dilihat sendiri oleh pengunjung.
Turut disediakan ialah khidmat jurupandu yang akan membawa pengunjung untuk mengikuti sesi lawatan dan pameran yang terdapat di Kompleks Nasyrul Quran.
Pelbagai jenis produk berkaitan al-Quran, buku, poster, seni khat, cenderahati dan banyak lagi turut dijual untuk pengunjung.
Kompleks Nasyrul Quran dibuka kepada orang ramai secara percuma dan ianya juga mesra kanak-kanak.
Siapa sangka, Malaysia bukan sahaja miliki bangunan-bangunan tertinggi di dunia, malah mempunyai kemudahan luar biasa bagi menghasilkan dan mengeksport al-Quran ke seluruh dunia!
BACA: Makan Kos RM150 Juta, Ini Sebab Kenapa Rakyat Tolak Perkampungan Al-Quran Putrajaya
Sumber & kredit foto: Twitter Richard Ker @richardker
Trending now



