Beli Rumah Ketika Gawat

‘Ada Sifu Galakkan Beli Rumah Waktu Gawat’ – Lelaki Ini Kongsi Tip Pembelian Rumah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dengan situasi pasaran hartanah yang tidak menentu ini akibat terkesan daripada krisis ekonomi, pastinya ramai memikirkan ia bukan masa yang tepat untuk membeli atau membuat pelaburan hartanah kerana bimbang mengalami masalah kewangan.

Tambahan pula dengan berita tentang kenaikan kadar dasar semalam (OPR) kepada 2% daripada 1.75% turut membuatkan ramai tidak berasa selesa.

Namun, bagi pandangan penggiat industri terutama pengamal hartanah melihat tempoh ‘gawat’ adalah peluang baik kepada mereka yang mempunyai aliran kewangan kukuh.

Justeru, seorang pengguna Facebook yang juga pakar hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad berkongsi pandangannya tentang persoalan ramai mengenai pembelian rumah ketika ini. Jom ikuti ulasan beliau.

Bolehkah beli rumah waktu gawat?

Ramai yang tanya soalan ini, malah ada sifu yang galakkan beli waktu gawat begini. Ini pandangan saya:

1. Elakkan beli rumah dalam pembinaan, di bimbangi rumah tak siap. Krisis 1997-98 ada lebih 500 pemaju yang bankrupt. Krisis kali ini lebih luar biasa sebenarnya. (Mohon maaf sahabat ejen REN sekalian).

2. Belilah dari pasaran subsale. Rumah dah siap dan boleh duduk terus selepas urusan selesai.

3. Cuba cari hartanah bawah harga pasaran antara 20-30% jika dapat. Jika nilai turun lagi setidaknya kita selamat.

4. Maksimumkan tempoh pembiayaan dan pembiayaan bank. Ini bertujuan agar bayaran bulanan kita rendah setiap bulan dan kita tak rasa terbeban bayar hutang rumah.

5. Pilih bank yang bagi value tinggi. Semak dengan beberapa bank, berapa nilai hartanah yang kita nak beli. Makin tinggi nilai bank itu bagi, disitu kita buat pembiayaan.

Jika nilai tinggi, sikit duit kita kena keluarkan waktu membeli.

Caj RM1 Antara Bank ATM Februari 2022

6. Beli rumah yang ada potensi pelaburan, jika kita kena pindah atau dibuang kerja. Kita boleh jual pada nilai yang lebih baik.

7. Beli rumah yang bayaran bulanan lebih rendah dari sewa. Jika kawasan itu sewa RM1200 sebulan. Beli rumah yang bayar ansuran bank hanya RM1000 sebulan. Ada caranya.

8. Mana ada rumah macam tu? Cari di website hartanah dan berkawanlah dengan semua ejen hartanah. Mereka ada banyak senarai ‘rahsia’ penjual terdesak rumah.

Ejen saya pernah tawarkan rumah 40% dibawah harga pasaran.

9. Beli bila bersedia, jika kerja belum stabil dan gaji masih kecil. Tak salah menyewa, biar lambat asal selamat. Jangan terburu beli dan terlelong nanti.

10. Jangan ada impian tunggu dan lihat saja, beli rumah harus bermula dengan menabung. Jika tabungan tak ada dan ada orang ajar beli rumah tanpa modal. Bersedialah untuk hidup merana.

Rumah tetap sebuah keperluan asas manusia. Lambat atau cepat kita tetap perlu membeli rumah juga.

Dalam krisis akan ada banyak peluang. Bersediakah kita?

BACA: Elak Pelaburan Jadi Sia-Sia, Ini Cara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Beli Rumah Lelong

Sumber: Azizul Azli