Johnny Depp vs Amber Heard

Analisa Kes Johnny Depp vs Amber Heard Dari Seorang Pakar Bahasa Badan Malaysia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Agak sukar untuk memihak kepada sesiapa dalam kes yang melibatkan dua pelakon popular ini kerana kedua-dua Johnny Depp dan Amber Heard masing-masing memang berbakat dan hebat dari segi lakonan.

Ya, ramai yang sokong Johnny, kan? Tapi, kalau melihat klip-klip video di media sosial sebelum ini, kedua-dua pelakon profesional ini ternyata sangat pandai memanipulasi ‘perwatakan’ dan ‘skrip’ masing-masing untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

Soalnya ialah, bolehkah mereka ini menipu orang ramai dengan bahasa badan mereka pula ketika perbicaraan yang menjadi tumpuan dunia pada ketika ini?

Seorang Pakar Bahasa Badan yang juga merupakan seorang Kaunselor Berdaftar, Shahrom Hassan dari PakarBahasaBadan.com telah membuat satu perkongsian yang menarik mengenai bahasa badan Johnny Depp dan Amber Heard di Facebooknya berikut.

Johnny Depp vs Amber Heard

Agak lama tidak berkongsi analisa bahasa badan di sini. Sejak akhir-akhir ini, perbicaraan kes Johnny Depp (JD) dan Amber Heard selalu melintasi TikTok saya.

Memandangkan asyik melihat video pendek, saya mengambil masa mencari video yang durasinya panjang sedikit untuk membuat sedikit analisa ringkas mengenai kes mereka.

Bahasa badan yang dipamerkan oleh JD di dalam perbicaraan boleh dikatakan terbuka dan menarik untuk diikuti. Tutur kata dan posturnya selari dan boleh dipercayai.

Bagi saya, apa yang lebih menarik ialah JD mengaku secara terbuka pada kesilapan dan insiden dirinya yang agak memalukan tanpa berselindung.

Mesti akan ada yang berkata, “Dia kan pelakon, tak mustahil dia berlakon je tu.. “.

Dalam pengalaman saya mengendalikan analisa bahasa badan, sehebat bagaimana sekalipun seseorang mengawal bahasa badan, dia tidak mampu melakukan secara konsisten untuk tempoh lama melainkan jika perkara itu benar-benar berlaku.

Pengakuan JD terhadap zaman kanak-kanaknya yang sering didera oleh ibunya membuatkan kita memahami mengapa JD boleh mempunyai hubungan toksik bersama isterinya, Amber Heard.

Bagaimana ibunya melayan dirinya semasa kecil membuatkan dia terperangkap dalam situasi yang sama ketika bersama isterinya.

Walaupun JD sebolehnya boleh mempertahankan diri ketika didera Amber tetapi memilih untuk tidak membuat demikian kerana melihat bapanya dahulu juga tidak mempertahankan diri ketika ibunya mendera.

Berbeza pula dengan Amber, Amber memperlihatkan dirinya seolah-olah dirinya pula yang didera.

Tapi pada pandangan saya, dia telah dilatih oleh peguamnya kerana walaupun dia mempamerkan ekspresi sedih ketika perbicaraan, dahinya menggambarkan sebaliknya.

Walaupun Amber belum memberikan sebarang keterangan dalam perbicaraan, saya dapat melihat ekspresinya tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah.

Di dalam emosi sedih, jika mulut dan matanya memberi isyarat sedih tetapi dahinya tidak menunjukkan sebarang kedutan, emosi sedih tersebut jelasnya adalah palsu.

Kebarangkalian wujudnya gaslighting dan sisi narsisis juga ada. Bolehlah selepas ini melihat dan menganalisa bahasa badan Amber ketika memberikan kenyataannya pula.

Apapun untuk JD selepas ini, jika masih berhasrat mencari pasangan hidup, dia perlu mendapatkan sesi psychotherapy terlebih dahulu supaya peristiwa silamnya tidak memberi kesan kepada perhubungan baru.

Secara tidak langsung, ini akan membantu mengatasi isu yang telah berakar lama dalam hidupnya, dan akan dapat mengelakkan dirinya mendekati arak dan dadah untuk mengurangkan keperitan emosi dalam dirinya.

Sumber: Facebook Shahrom Hassan