
Bukan Guna Kabel, Adik Beradik Pengasas Bulan Bintang Kongsi Detik Sukar Tubuh Bisnes
Apabila tiba musim perayaan, pastinya orang ramai mengenali jenama-jenama butik pakaian yang sebut sahaja sudah terpancul di minda.
Namun, belakangan ini muncul jenama Baju Melayu Bulan Bintang yang menjadi sebutan orang ramai di media sosial.
Mungkin dek kerana strategi pemasarannya yang begitu menjadi dengan menampilkan artis popular seperti Sharnaaz Ahmad dan Shukri Yahya, sehinggalah video tular orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli pakaian di butiknya yang terletak di Bangi.
Dalam pada ramai mengagumi kejayaan jenama Bulan Bintang sehingga menjadi jenama tempatan pertama yang menggunakan 3D billboard di hadapan KLCC, tidak kurang menerima kecaman dan tuduhan.
Ada segelintir netizen mendakwa kejayaan yang ditempah pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi adalah kerana lahir daripada keluarga berada dan berpangkat dan memang dikenali dalam dunia perniagaan.
Mana tidaknya, ramai tidak menyangka pengasas memulakan perniagaannya ketika berusia 19 tahun dan dianggap kejayaan menjadi usahawan muda itu atas faktor bantuan keluarga yang kaya raya.
Malahan, Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz turut menjadi salah seorang pelanggan jenama terbabit.
Sebenarnya sudah 7 tahun bertapak
Menjawab tuduhan yang dilemparkan, salah seorang abangnya yang juga pemilik Hausboom, Azri Zahier Azmi menafikan dakwaan netizen dengan menyatakan adik bongsunya juga sama seperti usahawan lain yang bermula dari bawah.
Menurutnya, perniagaan baju Melayu adiknya itu sebenarnya sudah 7 tahun bertapak yang menandakan segala kejayaan yang dikecapi adiknya pada hari ini tidak datang sekelip mata.
Tambahnya, sikap Azzim yang tidak sombong sering menjadi pembuka rezeki untuknya terus mengembangkan sayap perniagaan baju Melayu.
Ibu mereka yang dikenali Datin Siti Zabidah juga tampil menulis komen di Facebook selepas ada netizen yang tidak berpuas hati dengan kejayaan anaknya.
Turut kecewa dengan tindakan segelintir warganet adalah kakaknya, Nur’ain Zalia Azmi.
Menerusi hantaran di Facebook, Nur’ain mengaku terkesan dengan tuduhan segelintir netizen dan sedih dengan komen-komen yang dilontarkan.
Dia juga memaklumkan ibu mereka yang berumur lebih 60 tahun turut membaca segala komen yang ditinggalkan netizen terhadap adik bongsunya itu.
Berdasarkan perkongsian, Nur’ain antara individu yang terlibat rapat dan secara langsung dalam membantu menubuhkan perniagaan baju Melayu itu.
Perkongsian itu sekali gus menepis dakwaan netizen yang menyatakan adiknya mampu membayar ramai selebriti kerana mendapat dana daripada keluarga.
Trending now



