
Kos Haji Jemaah Malaysia Lebih Mahal Dari Indonesia? Penjelasan Ini Buat Ramai Bersyukur
Baru-baru ini Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan haji pada tahun 2022 akan meningkat kepada lebih RM25,000 iaitu sebanyak 12 peratus.
Menurut TH, kenaikan kos itu susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.
Namun, TH menyatakan pihaknya masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama.
“TH telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun yang lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun.”
Bagaimanapun, kenaikan kos haji tersebut telah mengundang perdebatan netizen yang kurang berpuas hati apabila membandingkannya dengan kos yang dicadangkan di Indonesia dilihat lebih murah iaitu sebanyak 45 juta rupiah (RM13,171).
Namun, beberapa netizen tampil membidas perbandingan tersebut dengan memberikan beberapa fakta.
Antaranya, seorang pengguna Facebook bernama Zainuddin Omar memberi penjelasan mengapa terdapat perbezaan kos dan ia lebih mahal untuk jemaah Malaysia.
Mereka yang tak berpuas hati mungkin belum pernah menunaikan haji dan eloklah diberi penerangan agar mendapat maklumat yang sebenar.
1. Tempat kediaman
Jemaah Malaysia tinggal berdekatan masjidil haram antara 500 meter hingga 1 km.
Mereka boleh balik ke hotel dan tempat tinggal setiap kali selepas solat fardhu.
Jemaah Indonesia pula tinggal jauh antara 2 km hingga 3 km dan terpaksa berjalan kaki ke masjid.
Ramai dari mereka tidak pulang ke tempat kediaman selepas solat fardhu untuk menjimat masa.
Saya sendiri pernah membuat Haji DIY dan tinggal 3 km jauh dari Masjidil Haram bersama jemaah Indonesia dan Afrika. Memang ianya sangat menyusahkan dan memenatkan.
Semasa musim Haji dan umrah, tempat kediaman yang dekat dengan Masjidil Haram memang tinggi kos sewaannya.
2. Penyediaan makanan
Tabung Haji melalui Muassasah menyediakan makanan pek tengah hari dan malam kepada semua jemaah Malaysia untuk menyenangkan mereka beribadah tanpa perlu memikirkan hal penyediaan makanan.
Manakala jemaah Indonesia perlu menyediakan makanan mereka sendiri.
3. Servis TH
Tidak dapat disangkalkan TH menyediakan servis terbaik dengan ramai petugas untuk membantu jemaah kita. Ianya sentiasa mendapat pujian dari Jabatan Haji Saudi Arabia.
3. Logistik
Pengendalian kenderaan antara Jeddah-Madinah-Mekah dan Mekah-Arafah-Mina-Mekah sangat efisen dikendalikan oleh TH.
Jemaah kita tak perlu berjalan kaki jauh berbanding jemaah lain.
4. Pakar Agama dan doktor
TH menyediakan ustaz-ustaz yang terlatih untuk membantu jemaah kita jika mereka mempunyai masalah dan pertanyaan mengenai hukum hakam ibadah haji.
Begitu juga di setiap Muassasah disediakan doktor dan ahli perubatan terlatih untuk merawat jemaah yang tidak sihat.
Semoga catatan ini dapat memberi sedikit penjelasan mengenai isu yang sedang tular ini.
Walaupun kos selebihnya telah ditanggung TH, bakal jemaah juga harus membuat persediaan awal dari segi kesihatan dan perbelanjaan haji.
Sumber: Zainuddin Omar
Trending now



