Puding Buih

Kes Keracunan Puding Buih Berlaku Lagi, Doktor Dedahkan 4 Faktor Bagaimana Ia Boleh Terjadi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Penjaja di bazar Ramadan perlu bertanggung jawab ke atas keselamatan pelanggan dan tidak seharusnya mengejar keuntungan semata-mata.

Orang ramai pula perlu lebih cakna dalam memilih juadah yang ingin dibeli dengan mengambil kira soal kebersihan makanan dan bukannya bergantung kepada keenakan dan harga jualan yang murah semata-mata.

Boleh dikatakan, setiap tahun pasti ada kes keracunan makanan yang berlaku melibatkan juadah yang dijual di bazar Ramadan yang biasanya turut melibatkan golongan kanak-kanak.

Kes keracunan puding buih misalnya telah berlaku beberapa kali sebelum ini yang mengakibatkan ramai mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital dan turut melibatkan kehilangan nyawa.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan telah menyenaraikan di Facebooknya 4 faktor berikut bagi menyedarkan orang ramai mengenai bahaya keracunan puding buih ini serta mengelakkan kes seumpama ini dari terus berulang di masa hadapan.

Puding Buih

PUDING BUIH DAN KERACUNAN MAKANAN

Hari ini ada kes keracunan makanan disyaki akibat puding buih di bazar. Sampel telah dihantar ke makmal untuk pengesahan. Kes keracunan berkaitan puding buih ni, bukan kali pertama terjadi.

Untuk makluman, pada tahun 2020 ada kes yang melibatkan hampir 100 orang mangsa, dan ada yang meninggal dunia. Kes berkenaan juga berpunca dari puding buih yang dijual di bulan Ramadan.

Pengendalian bahan mentah yang tidak sempurna semasa penyediaan puding buih lazimnya menjadi punca keracunan makanan kepada pengguna. Berikut adalah 4 perkara yang perlu diberi perhatian:

TELUR

Telur perlu dipastikan masih elok dan dicuci bersih sebelum digunakan. Telur yang kotor atau telur yang sudah rosak boleh dicemari oleh bakteria Salmonella. Bakteria ini menyebabkan keracunan makanan.

TEKNIK PENYEDIAAN

Putih telur dipukul sehingga kembang berbuih dan ia tidak dimasak. Untuk jadikannya selamat, telur perlu dimasak sekurang-kurangnya 75°C. Jika perlukan suhu kurang daripada itu, gunakan telur terpasteur.

SUHU PENYIMPANAN

Puding tidak boleh dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama kerana pembiakan bakteria akan berlaku. Puding buih perlu disimpan pada suhu sejuk dingin iaitu antara 0 hingga 10°C.

TEMPOH PENYIMPANAN

Puding perlu dimakan dalam tempoh 4 jam (jika tidak disimpan dalam peti sejuk). Selepas tempoh itu ada kemungkinan besar makanan tersebut menyebabkan keracunan makanan.

Penyediaan puding buih ini amat sensitif: bahan perlu segar, penyediaan perlu betul, suhu perlu dijaga, masa perlu diperhati. Oleh itu, peniaga perlu pastikan semua perkara ini terjamin.

Keselamatan pengguna seharusnya jadi keutamaan.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan dan Perubatan

*untuk maklumat tentang keselamatan dan kualiti makanan, boleh ikuti Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Sumber & kredit foto: Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan