Tai Zee Kin

Panduan Berguna Buat Orang Bukan Islam Untuk Sama-Sama Menghormati Ramadan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Masyarakat majmuk di Malaysia sering dipupuk dengan sikap bertimbang rasa dan tolak ansur di antara satu sama lain.

Amalan inilah yang menjadi pegangan kita selama ini ke arah kehidupan yang sejahtera, aman damai dan harmoni.

Ketika menyambut bulan Ramadan misalnya, penganut agama lain turut sama-sama memahami dan menghormati orang Islam yang berpuasa.

Hantaran yang dibuat oleh seorang pemuda berbangsa Cina, Tai Zee Kin di Facebooknya ini merupakan satu contoh penulisan terbaik yang dapat menyelami dengan lebih dalam tanggapan kaum lain terhadap ibadat puasa umat Islam.

Beliau menceritakan pengalamannya yang bekerja di pejabat yang majoriti pekerjanya adalah Muslim dan bagaimana beliau dibesarkan oleh ibu bapanya yang mengamalkan sikap ‘kekangan kendiri’.

Hantaran yang dibuat oleh beliau ini mungkin dapat dijadikan panduan bagi orang bukan Islam yang lain untuk turut sama-sama membantu meningkatkan lagi persefahaman dan toleransi antara kaum di Malaysia.

Jom ikuti kisah Tai Zee Kin berikut dan juga pendapat beliau mengenai sebuah sekolah yang melarang pelajar bukan Islam membawa botol air ketika Ramadan yang kecoh baru-baru ini.

 

1 Tai Zee Kin

Cerita Puasa Ramadan

Selama 4 tahun saya bekerja di sebuah pejabat di mana majoriti pekerja adalah Melayu Muslim.

Pejabat ini terdiri daripada 90 lebih warga Melayu Muslim dan 6 bukan Melayu Muslim – 3 Cina, 3 India. Bahagian saya pula ada 8 orang dan saya seorang sahaja bukan Muslim.

Dari kecil ibu bapa mengajar kami adik-beradik supaya mengamalkan sikap ‘kekangan kendiri’ (self restrain) sempena bulan Ramadan.

Tiada masalah bagi kami tidak makan dan minum depan sahabat Muslim sejak zaman bangku sekolah. Ini adalah tabiat dan amalan yang terpahat batin.

Ramadan pertama saya di pejabat ini cukup menarik dan merupakan sebuah pengalaman saya tidak akan lupa sepanjang hidup ini.

Saya ada tabiat membawa botol air ke sekolah/tempat kerja. Masa bulan Ramadan, saya segan minum air walaupun dahaga.

Rakan sekerja saya, Kak Lini Marlina Ismail, Kak Umi Hani, Bahariah Bahadom berkali-kali menegur saya supaya jangan segan kalau nak makan atau minum depan mereka.

“Zee Kin, minum dan makan sahaja! Jangan nak segan. Kami okey”.

Terharu saya.

Sahabat-sahabat saya barangkali menerangkan konsep ibadah puasa sebagai sebuah jihad yang mulia – dan kepentingan warga Muslim untuk menguatkan iman bagi mengatasi segala godaan yang boleh membatalkan puasa.

Bagi mereka, menghadapi dugaan puasa dengan iman yang kuat adalah tanggungjawab mereka terhadap orang miskin kebuluran dan juga kepada Tuhan. Jihad ini harus dipikul dan dijinjing oleh sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Walau bagaimanapun, saya terfikir ajaran ibu bapa dan enggan menyusahkan sahabat Muslim saya yang sedang berpuasa. Bulan Ramadan saya makan dan minum bersendirian atau bersama Bonda Joan Lai di luar. Bonda Joan juga sangat peka terhadap perasaan rakan sekerja kami yang sedang berpuasa. Beliau seringkali ‘mengingatkan’ saya supaya jangan menyeksa rakan Muslim dengan perbualan makan, minum, merokok dan lain lain. Beliau juga seorang yang mengamalkan kekangan kendiri.

Inilah keindahan bulan Ramadan dan juga masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati – warga Muslim yang gigih menguatkan iman untuk menunaikan ibadah puasa, dan warga bukan Islam yang mengamalkan kekangan kendirian sempena Ramadan.

Saya cukup menghargai pengalaman yang indah ini.

Namun, sebuah insiden mencabar fahaman saya selama ini mengenai ibadah puasa. Sebuah sekolah telah melarang pelajar bukan Islam membawa botol air ke kelas.

Walaupun saya secara dasar tidak membantah larangan tersebut, hati saya telah timbul keraguan bahawa bukan semua orang berkongsi pendapat rakan-rakan sekerja saya.

Rakan-rakan sekerja saya mengalakkan supaya saya terus menjalankan rutin saya seperti biasa dan Cik Bahariah pernah menegur supaya jangan memperlekehkan iman beliau dengan sengaja menyorok botol air saya. Saya cukup terkagum.

Saya setuju, pelajar Muslim sekolah rendah masih kecil lagi dan godaan minum air mungkin terlampau seksa untuk mereka.

Bagi saya, yang sepatutnya berlaku adalah seruan daripada pemimpin bukan Islam supaya kami mengamalkan kekangan kendirian.

Pemimpin bukan Islam harus membuat kenyataan untuk menggalakkan warga Bukan Islam supaya jangan makan minum depan sahabat Muslim kami.

Situasi akan menjadi sangat berlainan kalau pihak sekolah terus melarang pelajar bukan Muslim yang tiada persiapan berpuasa membawa air – mereka tidak pernah diajar atau dilatih untuk mengawal pengambilan air (contohnya, sahur) seperti pelajar muslim. Agama mereka juga tidak melarang minuman air langsung.

Justeru saya sangat sedih, kerana banyak rakan bukan Islam terlampau cepat menghukum berdasarkan peristiwa kekecualian ini.

Majoriti sahabat Muslim saya tidak berpendapat demikian – di mana beban penunaian ibadah puasa harus serba sedikit dipertanggungjawabkan kepada yang bukan Islam.

Namun saya juga ingin menyeru kepada semua yang tidak berpuasa supaya mengamalkan kekangan kendiri sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

Ibadah berpuasa adalah sangat suci dan kami patut membantu, mempermudahkan sahabat Muslim dalam menunaikan tanggungjawab mereka dengan tidak makan dan minum depan mereka.

Sekian.

Sumber: Facebook Tai Zee Kin