
Kenapa Konten ‘Sampah’ Dan Mengarut Sering Mendapat Perhatian?
Tidak dapat disangkal lagi zaman sekarang boleh dikatakan majoriti daripada kita mempunyai akaun dan memuat naik pelbagai kandungan di media sosial masing-masing.
Sama ada untuk tujuan perniagaan, suka-suka dan sebagainya yang mana masing-masing mempunyai pendekatan dan pendirian tersendiri dalam hal ini.
Dalam setiap muat naik atau apa jua yang dikongsi dan dipaparkan di media sosial ini secara tidak langsung menjadi ikutan, inspirasi dan rujukan.
Belakangan ini, garis masa mana-mana platform akan memaparkan isi yang tidak sedap dipandang. Ada sahaja isu timbul yang membuatkan orang ramai mengecam, mengherdik dan situasi ini akan kembali berulang.
Ini memperlihatkan masyarakat lebih suka perkara sensasi. Setuju atau tidak, kita semua telah banyak disajikan video-video yang dikategori ‘sampah’ dan mengarut oleh masyarakat sendiri namun konten sebegini tetap menjadi topik utama.
Bukan di Malaysia sahaja, konten-konten ‘mengarut’ dengan pelbagai ragam juga mendapat perhatian di mana-mana masyarakat dunia.
Persoalannya, kenapa konten sebegini begitu mudah menjadi popular?
Konten ‘sampah’ lebih ‘menghiburkan’?
Perasan tidak, mereka yang mencipta sensasi dan konten mengarut ini akan tular beberapa kali. Ada banyak perkara yang membuatkan kita geleng kepala, tapi berita tentangnya malah menjadi-jadi.
Kadang-kala, pelakunya diberi keistimewaan muncul di media massa untuk tujuan apa pun kita tidak pasti.
Konten-konten sebegini sering menjadi viral kerana dinilai lebih ringan dan ‘menghibur’. Setidaknya, ia merupakan jenis konten yang tidak perlu otak anda ‘bekerja’ setelah menghabiskan tenaga seharian.
Selain itu, konten mengarut mudah mendapat perhatian kerana ada elemen luar dari kebiasaan dan mengejutkan.
Contohnya, video-video ‘challenge’ yang menjadi ikutan global seperti ‘Kiki Challenge’ dan Harlem Shake kerana merupakan hal baru yang belum pernah ada sebelumnya.
Salah satu sebab konten-konten ‘sampah’ mudah tular kerana hal-hal mengarut itulah yang sebenarnya menawarkan ‘gangguan paling mudah’ daripada beban masalah yang kita hidapi.
Antara konten mengarut dengan video ilmiah selama 30 minit, mana yang mudah untuk fokus dan hadam selepas penat seharian bekerja?
Jika lebih ramai memilih untuk menonton video ilmiah, masakan tidak konten-konten mengarut ini mudah menjadi tular?
Justeru, tanggungjawab kita adalah menjadi orang berilmu, orang yang bermanfaat dengan lebihkan berkongsi ilmu atau konten bernilai demi memajukan tamadun.
Jika tidak mampu, kita sendiri menyokong konten berkualiti itu dengan membantu sebarkannya sebaik mungkin.
Trending now



