
Ayam Berkokok Sebab Nampak Malaikat? Ini Jawapan Dr Zulkifli
Kita semua pasti pernah merasai pengalaman mendengar ayam jantan berkokok di pagi hari atau sebelum matahari terbit. Bunyinya itu mampu membangunkan orang-orang yang sedang tidur.
Keistimewaan ayam jantan, haiwan ini tidak memerlukan cahaya untuk mengetahui terbitnya fajar menerusi kajian yang dilakukan oleh National Geographic.
Manakala dari sudut pandang agama, setiap kali ayam jantan itu berkokok menandakan ia sedang melihat malaikat.
Perkara ini adalah sahih seperti yang dikongsikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman sesawang Maktabah al Bakri.
Jelasnya, ayam jantan berkokok disebabkan haiwan itu melihat malaikat adalah benar sebagaimana Rasulullah SAW menyebutnya di dalam hadith yang sahih.
Digalakkan berdoa apabila mendengar ayam berkokok
Dalam penerangan itu, Dr Zulkifli menyatakan bahawa kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah SWT ketika kehadiran malaikat dengan harapan moga-moga Malaikat mengaminkan doa kita.
“Rasulullah SAW menjadikan bunyi kokok ayam jantan, sebagai tanda kebaikan, iaitu datangnya Malaikat dan kita dianjurkan berdoa.
“Hal ini menunjukkkan keistimewaan ayam jantan,” katanya.
Keistimewaan ayam jantan
Mengulas lanjut, ayam jantan juga memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki binatang lain, iaitu ia mengetahui perubahan waktu di malam hari.
“Dia berkokok di waktu yang tepat dan tidak pernah ketinggalan. Dia berkokok sebelum subuh dan selepas subuh, ia tidak pernah tersalah waktu.
“Sama ada pada malamnya yang panjang atau yang singkat. Oleh sebab itu, sebahagian ulama’ Syafi’iyah memfatwakan untuk berpegang bahawa ayam jantan mujarab dalam menentukan waktu,” tulisnya.
Sehubungan itu, kita dianjurkan berdoa ketika ayam berkokok adalah untuk mengharapkan ucapan amin dari Malaikat atas doa kita dan permohonan ampun mereka kepada kita.
Tiba-tiba teringat pula dengan alunan nasyid kumpulan Raihan yang berjudul Peristiwa Subuh:
Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi,
Berkumandang suara azan,
Mendayu memecah sepi,
Selang seli sahutan ayam.
Sumber: Maktabah AlBakri
Trending now



