Foto Facebook Family Camping Malaysia

Isu Kalimah Allah Pada Tikar Khemah, Penjelasan Decathlon Buat Ramai Netizen Tak Puas Hati

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Beberapa hari yang lepas, satu hantaran di Facebook Group Family Camping Malaysia oleh seorang pengguna bergelar Pak Lang Botuck telah menimbulkan keresahan umat Islam di Malaysia.

Ini berikutan sejenis tikar yang dibeli dan digunakan olehnya sejak sebulan yang lalu tanpa disedari mengandungi kalimah Allah.

Tikar yang boleh digunakan untuk membuat alas ketika aktiviti berkhemah, memancing atau berkelah tersebut dibeli olehnya di salah sebuah cawangan Decathlon.

Melalui hantarannya tersebut, beliau turut memuat naik bukti bergambar beserta video berdurasi 30 saat yang memaparkan dengan jelas kalimah Allah tersebut.

Tangkap layar dari Facebook Family Camping Malaysia
– Tangkap layar dari Facebook Family Camping Malaysia

Ketika seorang lagi pengguna Facebook, Afzulnizam Aris membawa isu ini melalui satu ruangan komen di Facebook rasmi Decathlon, jawapan yang diterima adalah seperti berikut:

“Mohon berikan sedikit ruang untuk pihak kami melakukan siasatan lanjut dan kami akan memberikan penjelasan yang sewajarnya setelah siasatan selesai. Terima kasih.”

Selain itu, menerusi ruangan komen, Decathlon turut menawarkan pemulangan wang semula bagi mereka yang telah membeli produk tersebut setelah ditanya oleh seorang lagi pengguna Facebook, Hariz Kamarudin.

“Cik boleh hadirkan diri ke cawangan sekiranya encik ingin memulangkan tikar tersebut dan kami akan lakukan pemulangan wang,” jelas Decathlon.

Tangkap layar dari Facebook Family Camping Malaysia
– Tangkap layar dari Facebook Family Camping Malaysia

Ramai pengguna Facebook yang lain pula seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan ‘jawapan’ dari Decathlon tersebut.

Antara lain, mereka turut menuntut Decathlon untuk menarik semula produk ini di pasaran serta memberi amaran agar jangan mengambil mudah isu yang melibatkan kalimah Allah.

“Permohonan maaf saja belum cukup untuk menutup isu ni.

“Pihak Decathlon wajib tarik balik pengeluaran produk yang menyinggung sensitiviti agama (Islam khususnya).

“Buat pengguna jangan leka dengan dunia, hingga agama sendiri diinjak tanpa berbuat apa-apa,” ujar seorang pengguna Facebook bergelar Hendra Nascimento.

5 hari sudah berlalu, namun setakat hari ini, ramai yang masih tertunggu-tunggu jawapan sebenar dan penjelasan rasmi dari pihak Decathlon mengenai isu ini.

Sumber: Family Camping Malaysia