Pembalakan Untuk Populasi Harimau

‘Pembalakan Baik Untuk Populasi Harimau’ – Kenyataan Pengarah Perhutanan Kelantan Dikecam Ramai

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan dikecam orang ramai selepas menyangkal dakwaan kononnya aktiviti pembalakan di negeri ini menjadi punca harimau belang keluar dari habitatnya, sekali gus menjejaskan populasi haiwan buas itu.

Kata Abdul Khalim Abu Samah, kajian dibuat seorang pakar dari Sarawak mendapati perkara sebaliknya berlaku, iaitu populasi harimau berhampiran kawasan pembalakan didapati bertambah.

Beliau mendakwa selepas kegiatan pembalakan, banyak pokok baharu tumbuh dan proses ini menarik haiwan kecil seperti kancil yang merupakan sumber makanan untuk harimau datang ke kawasan tersebut.

Makanya, situasi ini memudahkan harimau mendapatkan sumber makanan berbanding dalam hutan tebal.

“Malah, pembalakan hanya dilakukan di hutan simpan pengeluaran, bukannya hutan simpan perlindungan,” kata Abdul Khalim.

Pembalakan Untuk Populasi Harimau
Sumber: Mediacorp

Aktivis sifatkan kenyataan Abdul Khalim sebagai jahil

Aktivis alam sekitar, Shariffa Sabrina Syed Akil yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) memberitahu FMT bahawa kenyataan Khalim mengenai harimau itu adalah “sangat tidak bertanggungjawab”.

Katanya, pembalakan bukan sahaja menjejaskan harimau tetapi juga hidupan liar lain, serta Orang Asli tambahan tiada data jelas tersedia mengenai jumlah hutan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi pembalakan.

“Setakat yang kita tahu, CTT (catuan penebangan) di Kelantan amat diragui dan tidak boleh dipercayai,” katanya.

Rata-rata pengguna media sosial mempersoalkan dan mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Khalim kerana dakwaan itu dikatakan bertentangan dengan apa yang dipelajari di sekolah dahulu.

Panthera Tigris atau keluarga harimau Malaya disenaraikan sebagai spesies terancam sejak 2008 dan dikategori ‘sangat terancam’ pada Jun 2015.

Harimau Malaya antara subspesies harimau belang yang masih wujud di dunia dan hanya terdapat di Semenanjung. Daripada sembilan subspesies harimau belang dunia, tiga daripadanya diisytiharkan pupus.

Pembalakan Untuk Populasi Harimau
Sumber: Dunia Pencinta Haiwan Malaysia

Tiga punca utama ialah kegiatan pembukaan tanah besar-besaran untuk pertanian dan pembangunan hartanah, aktiviti pemburuan dan pembalakan haram berleluasa.

BACA: Kajian Terkini Dapati Harimau Malaya Hanya Tinggal 23 Ekor Sahaja