
Bapa Jatuh Sakit Selepas Dos Penggalak, Dr Asri Beri ‘Cadangan’ Pada KKM
Selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, bapanya muntah dan menjadi sangat lemah.
Sejak lebih seminggu yang lalu, oleh kerana kesihatan bapanya yang semakin merosot akibat suntikan dos penggalak, Dr Asri berkata bapanya terpaksa dimasukkan ke hospital.
Lebih merisaukan, seorang doktor yang merawat berkata, bapa beliau sekali lagi diserang angin ahmar di bahagian sensitif kepalanya.
Dalam satu kenyataan kepada media, Dr Asri berkata sudah banyak aduan mengenai kesan sampingan yang serius selepas pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19.
Menurut beliau, terdapat juga dakwaan dari orang ramai yang datang berjumpa dengannya bahawa telah berlaku kematian mengejut selepas dos ketiga tersebut diberikan.
Namun, oleh kerana kejadian ini berlaku di kawasan pedalaman serta melibatkan orang kampung, tiada saluran aduan rasmi untuk diajukan.

“Walaupun secara perbandingan peratus mereka yang mendapat mudarat lebih kecil dibandingkan yang sihat, namun, setiap keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan,” jelas beliau.
“Memang benar, majoriti yang ambil tiada masalah malah saya dah ambil dos ketiga pun tiada masalah. Ibu saya pun ambil, tiada masalah. Alhamdulillah,” tambahnya lagi.
Dr Asri turut menjelaskan, beliau sama sekali tidak menafikan peranan vaksin yang sebelum ini sudah berjaya mengurangkan banyak risiko COVID-19.
Tetapi, apa yang ingin beliau tegaskan ialah kebimbangan orang ramai setelah pemberian dos penggalak ini dilihat memberi pelbagai kesan serius terhadap kesihatan.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga wajar menangguhkan dulu pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19 mengambil kira kepentingan orang ramai.
Satu kenyataan yang jelas terhadap siapa atau golongan mana yang sebenarnya tidak wajar mengambil dos berkenaan perlu diteliti semula oleh KKM.
“Penafian atau ‘state of denial’ tidak berfaedah jika masyarakat melihat realiti sebenar di hadapan mata mereka dan biarlah ada panduan jelas siapa yang layak dan siapa tidak layak ambil dos ketiga ini.
“Jika dinilai, ia bukan kisah dongeng tapi memang ramai yang mengalami atau melihat sahabat atau ahli keluarga alami dan tidak guna untuk menafikan,” tegas Dr Asri.
BACA: Risiko Varian Omicron, KKM Tak Tolak Kemungkinan Jadikan Dos Penggalak Sebagai Pelengkap Vaksinasi
Sumber: BH Online
Trending now



