Foto Facebook DPP Malaysia/Halton Catholic District School Board

Sambutan Hari Agama Sedunia – Apakah Sebenarnya Yang Menyebabkan Ia Bertentangan Dengan Syarak?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menurut Wikipedia, sambutan Hari Agama Sedunia diadakan di peringkat antarabangsa pada setiap hari Ahad ketiga dalam bulan Januari setiap tahun.

Pada tahun ini, sambutan Hari Agama Sedunia diadakan pada hari Ahad, 16 Januari 2022. Apakah sebenarnya Hari Agama Sedunia dan kenapakah ianya bertentangan dengan syarak?

Sambutan World Religion Day atau Hari Agama Sedunia dimulakan oleh penganut Baháʼí di Amerika Syarikat sejak tahun 1950 lagi.

Mengikut fahaman Baháʼí, prinsip asas dan peranan setiap agama adalah untuk keharmonian, penyatuan serta hubungan toleransi antara semua umat manusia di dunia.

Justeru itu, setiap agama dilihat sebagai sama sahaja dan hanyalah satu, progresif serta berkembang seiringan dengan sejarah peradaban manusia di muka bumi.

Langkah ‘menyatukan’ setiap agama atau ajaran Pluralisme ini turut dilihat sebagai salah satu lagi kegilaan dunia barat seperti bersungguh-sungguh mengangkat taraf golongan ‘songsang’ sebelum ini atas tiket diversity dan equality.

Melalui satu hantaran yang dibuat oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden di Facebook DPP Malaysia, beliau menerangkan dengan lebih terperinci mengenai Hari Agama Sedunia serta pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam mengenainya.

Foto Facebook DPP Malaysia
– Foto Facebook DPP Malaysia

KEBEBASAN BERAGAMA BUKAN SEHINGGA MENGIKTIRAF AGAMA LAIN

17 Januari 2022 | 14 Jamadilakhir 1443 H

  1. Islam menghormati hak kebebasan beragama dalam konteks pilihan untuk mereka yang bukan beragama Islam, iaitu sama ada untuk menerima Islam, atau kekal dengan agama mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 20:

فَإِنۡ حَاۤجُّوكَ فَقُلۡ أَسۡلَمۡتُ وَجۡهِیَ لِلَّهِ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِۗ وَقُل لِّلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡأُمِّیِّـۧنَ ءَأَسۡلَمۡتُمۡۚ فَإِنۡ أَسۡلَمُوا۟ فَقَدِ ٱهۡتَدَوا۟ۖ وَّإِن تَوَلَّوۡا۟ فَإِنَّمَا عَلَیۡكَ ٱلۡبَلَـٰغُۗ وَٱللَّهُ بَصِیرُۢ بِٱلۡعِبَادِ

“Maka sekiranya mereka berhujah akan kamu maka katakanlah kepada mereka bahawa: Aku menyerah diri kepada Allah dan begitu juga orang yang mengikutiku. Dan katakanlah kepada orang yang diberikan al-Kitab dan golongan yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis): adakah kamu menyerah diri (memeluk Islam)? Maka sekiranya mereka memeluk Islam sesunggahnya mereka telah mendapat hidayah namun sekiranya mereka berpaling (enggan) maka kewajipan ke atas kamu hanya menyampaikan yang nyata (kebenaran).” (Ali Imran: 20)

Begitu juga firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 99:

وَلَوۡ شَاۤءَ رَبُّكَ لَـَٔامَنَ مَن فِی ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِیعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ یَكُونُوا۟ مُؤۡمِنِینَ

“Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?” (Yunus: 99)

  1. Namun dalam meraikan kebebasan beragama, ia tidaklah sehingga mengiktiraf agama lain setara dengan Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 19:

إِنَّ ٱلدِّینَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ

“Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.” (Ali Imran: 19)

Dan begitu juga pada firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 185:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari kalangan orang-orang yang rugi.” (Ali Imran: 85)

  1. Antara bentuk mengiktiraf agama lain sama seperti agama Islam dan bertentangan dengan syarak adalah dengan menyambut, atau meraikan Hari Agama Sedunia. Sambutan ini asalnya dimulakan oleh penganut agama Bahai, yang bertunjangkan kesatuan agama atas dasar toleransi dan menyemai rasa kasih sayang antara agama. Namun sebenarnya, ia bercanggah dengan Islam yang menghormati perbezaan agama tanpa meletakkan semua agama sama dengan Islam.
  2. Dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia, kita menghormati agama lain dengan mengiktiraf kebebasan beragama mereka, menghormati hak mereka untuk mengamalkan ajaran agama mereka, serta memberi ucapan selamat pada setiap perayaan yang disambut mereka. Perbuatan meletakkan Islam sama taraf dengan agama lain bukanlah suatu kaedah menghormati perbezaan agama. Ia sebenarnya merupakan ajaran Pluralisme dan bercanggah dengan ajaran Islam. Ini diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-74 pada 25 – 27 Julai 2006, yang menyenaraikan pluralisme agama sebagai salah satu doktrin yang sesat lagi menyesatkan.
  3. Pluralisme dan kesatuan agama bukanlah suatu cara mengharmonikan antara agama. Sebaliknya, ia membawa kepada kecelaruan yang akan menghakis kepercayaan agama dan ajaran sebenar yang diwahyukan kepada umat Islam. Pluralisme agama menimbulkan lebih banyak permasalahan berbanding kebaikan.
  4. Dalam meraikan kepelbagaian agama dan kaum dalam sebuah negara masyarakat majmuk di Malaysia, cukuplah kita umat Islam berpegang dengan Fiqh Taayush yang telah disusun oleh para alim ulama kita. Islam meraikan kepelbagaian agama dan kaum, namun ia tidak sehingga mengiktiraf agama lain setaraf dengan agama Islam. Semoga kita semua diberikan hidayah oleh Allah SWT.

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur (ingkar), biarlah dia mengingkarinya” (Al-Kahfi: 29)

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN

Foto Facebook DPP Malaysia
– Foto Facebook DPP Malaysia

BACA: ‘Unboxing’ Pada Malam Pertama – Astaghfirullah, Pakar Agama Larang Trend Mengaibkan Isteri Di TikTok

Sumber: DPP Malaysia