Penjawat Awam Tipu Sijil Vaksin Palsu

Pasangan Penjawat Awam Sanggup Beli Sijil Vaksin Palsu Demi Dapatkan Bonus Tahunan

Sejak timbulnya isu ada beberapa pihak yang didapati telah menipu berkaitan sijil digital vaksinasi, polis kini mempergiatkan operasi dan pemantauan dalam mengesan pihak yang terlibat dengan sindiket ini di seluruh negara.

Dilaporkan, sepasang suami isteri yang juga penjawat awam telah ditahan polis apabila diketahui menggunakan sijil digital vaksinasi yang dipercayai palsu dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan bonus tahunan dan mengelak daripada dikenakan tindakan tatatertib.

Difahamkanm, penipuan dibuat kedua-dua penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Melaka. Pasangan berkenaan didapati membeli sijil itu dengan harga RM500 setiap satu menerusi rakan sekerja berusia 58 tahun yang bertindak sebagai orang tengah.

“Kegiatan pasangan ini menggunakan sijil vaksinasi palsu mula terbongkar selepas pihak jabatan curiga dengan aplikasi Mysejahtera berstatus vaksin lengkap dua dos yang dimiliki mereka sebelum membuat semakan di Klinik Kesihatan Rembia.

“Hasil semakan klinik berkenaan kemudian mendapati kedua-dua mereka tidak pernah menerima apa-apa vaksin sebelum laporan polis dibuat kerana mereka telah menipu pihak jabatan,” kata Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Penjawat Awam Tipu Sijil Vaksin Palsu
Sumber: Kosmo

Mengulas lanjut, pasangan itu telah mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu melalui orang tengah yang merupakan penjawat awam di jabatan sama dan ketiga-tiga mereka telah direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Siasatan mendapati orang tengah berkenaan mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu itu daripada seorang suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Vnilai’.

Pasangan yang merupakan kumpulan anti vaksin itu juga sebelum ini pernah tampil membuat laporan polis pada tahun lalu berhubung keengganan mereka menerima suntikan vaksin berkenaan.

Untuk makluman, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan selepas 1 November 2021 akan dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Terdahulu, seorang doktor klinik swasta di Marang telah direman atas dakwaan menjual lebih 1,900 sijil vaksinasi COVID-19 palsu kepada pelanggan dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

Sumber: Awani