Foto United International Pictures Malaysia

‘Scream’ – Apa Sebenarnya Yang Menarik Dan Kenapa Peminat Filem Seram Wajib Menonton Filem Ini

Apa sebenarnya yang menjadikan filem terbaru Scream yang bakal menemui penonton di Malaysia mulai 20 Januari ini menarik dan wajib ditonton oleh peminat filem seram? Jom sama-sama kita lihat.

Filem dan TV

Scream (2022) atau Scream 5 merupakan filem ke-5 dalam francais Scream yang menyusul bermula dari filem asalnya iaitu Scream (1996), Scream 2 (1997), Scream 3 (2000) dan Scream 4 (2011).

Terdapat juga siri TV Scream yang berjumlah 30 episod dan ditayangkan selama 3 musim pada tahun 2015, 2016 dan 2019.

Pengarah dan pelakon

Pengarah filem seram terkemuka, Wes Craven yang bertanggungjawab membawa filem-filem ikonik seperti The Last House on the Left (1972), The Hills Have Eyes (1977) dan A Nightmare on Elm Street (1984) diberi peranan untuk menggalas tugas sebagai pengarah filem pertama Scream sehinggalah filem Scream yang ke-4.

Wes Craven berjaya mengangkat dan mempopularkan kembali genre seram pembunuh ‘slasher’ yang popular pada era 80-an dengan siri filem seperti Halloween, Friday The 13th dan watak-watak seperti Michael Myers, Jason Voorhees dan ciptaannya sendiri iaitu Freddy Krueger.

Dalam Scream yang ditulis oleh Kevin Williamson, Wes Craven turut berjaya mengetepikan imej stereotaip filem seram dengan menghasilkan beberapa kejutan baru seperti membunuh watak bintang ternama seawal filem bermula seperti apa yang pernah dilakukan Alfred Hitchcock menerusi Psycho (1960).

Selepas Wes Craven meninggal dunia pada 2015 akibat kanser, francais Scream seolah-olah menyepi kerana tiada lagi filem terbaharu dan hanya terdapat siri TV yang agak hambar dan mampu bertahan selama 3 musim sahaja.

Akhirnya Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett, dua orang pengarah yang membuat kejutan pada tahun 2019 dengan filem Ready or Not, berjaya memujuk 3 bintang utama Scream sebelum ini untuk kembali.

Walaupun berat untuk meneruskan francais ini tanpa Wes Craven, Neve Campbell, Courteney Cox dan David Arquette dilaporkan akhirnya sepakat bersetuju menerima tawaran untuk kembali dengan watak masing-masing selepas yakin dengan kebolehan kedua-dua pengarah baru ini.

Kisah benar dan realiti kehidupan

Apa yang menarik mengenai asal-usul Scream ialah filem ini sebenarnya diinspirasikan dari kisah benar pembunuh bersiri bernama Danny Rolling yang digelar sebagai The Gainesville Ripper.

Pada akhir bulan Ogos 1990, dalam tempoh hanya 4 hari, Danny telah membunuh 5 orang pelajar, mengaku pernah merogol dan membunuh beberapa orang lagi mangsanya termasuk pernah cuba untuk membunuh bapanya sendiri!

Manakala pembunuh dalam filem Scream pula sering memakai kostum jubah hitam bersama dengan topeng Ghostface dan kerap mengganggu mangsanya dengan panggilan telefon yang dibuat menggunakan peranti menukar suara.

Tayangan di Amerika Syarikat

Tayangan filem pertama Scream tidak mendapat sambutan kerana dibuat ketika musim Krismas dan hanya berjaya memungut AS$6 juta sahaja pada minggu pembukaan.

Selepas menjadi ‘buah mulut’, filem tersebut semakin laris dan dengan hanya bermodalkan AS$14 juta, filem tersebut akhirnya kekal berada hampir 8 bulan di pawagam dan berjaya memungut lebih AS$170 juta di seluruh dunia.

Selepas filem pertama ini pecah panggung, jualan dan penggunaan mesin ‘caller ID’ di Amerika Syarikat tiba-tiba melonjak tiga kali ganda! Filem ganas ini juga menggunakan lebih 50 gelen ‘darah’ semasa penggambaran.

Maka tidak hairanlah, francais filem ini turut pernah dipersalahkan akibat beberapa kejadian keganasan yang melibatkan insiden tikam dan pembunuhan ngeri yang dikatakan diinspirasikan darinya.

Tayangan di Malaysia

Di Malaysia, pernah berlangsung satu eksperimen sosial di sebuah universiti awam pada tahun 1997, bagi melihat sejauh mana 30 penonton yang pertama kali menonton Scream dapat meneka siapakah pembunuh sebenar.

Hasilnya, dalam 30 orang yang menonton filem tersebut, semuanya GAGAL dan tidak ada seorang pun yang berjaya meneka dengan tepat!

Apa yang lebih menarik, untuk Scream ke-5 kali ini, penerbit seolah-olah ‘main-main’ dengan penonton dan mendedahkan pembunuh sebenarnya sudah pun berada di dalam poster rasminya berikut:

Foto United International Pictures Malaysia
– Foto United International Pictures Malaysia

“THE KILLER IS ON THIS POSTER”. Boleh teka tak?

Untuk memenangi 10 pasang tiket ke tayangan perdana filem Scream ini, sila klik pautan berikut:

https://fb.watch/aumXRPf8bB/

BACA: ‘Don’t Look Up’ – Filem Satira Ragam Politik Dan Media Masa Kini

Sumber: IMDb