Foto Netflix Inc./Facebook The Hacker Checker

Nur Batrisya Wafa – Kisah ‘The Queen’s Gambit’ Malaysia?

Umpama siri televisyen popular – The Queen’s Gambit, Nur Batrisya Wafa Mohsen yang baru berusia 17 tahun, tanpa gentar telah mengorak langkah untuk mengharumkan nama Malaysia di persada permainan catur peringkat antarabangsa.

Kelibatnya yang bertubuh kecil dan bertudung, dilihat bagaikan selamba sahaja mengambil tempat untuk bermain catur sambil dikelilingi oleh ‘mat saleh’ yang jauh lebih besar dan berusia darinya.

Foto Sinar Harian
– Foto Sinar Harian

Nur Batrisya bermain catur bagi mewakili kumpulan The Hacker Checker dalam kategori terbuka Festival Catur Antarabangsa ke-20 di Prague Open yang diadakan dari 7 hingga 14 Januari 2022.

“Selepas kejohanan ini, dia akan bertanding dalam kejohanan lain pula, tapi masih di Republik Czech,” jelas bapanya, Mohsen Amdan, 44.

Foto Facebook The Hacker Checker
– Foto Facebook The Hacker Checker

Penyertaan Nur Batrisya di kejohanan itu adalah dibiayai sendiri oleh keluarganya bagi memberikan beliau pendedahan dan pengalaman beraksi di luar negara.

“Anak saya masih belum pada tahap ‘ternama’ hingga ada yang nak biaya, jadi usaha kami sendiri supaya dia mendapat pengalaman dan kariernya dalam permainan catur boleh pergi lebih jauh,” tambah beliau lagi.

Foto Facebook The Hacker Checker
– Foto Facebook The Hacker Checker

Hanya ditemani ibunya, Wan Fatahhiyah Remli, 42, Nur Batrisya juga merupakan seorang penerima Anugerah Biasiswa Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah banyak memenangi kejohanan permainan catur peringkat tempatan sebelum ini.

Anak sulung daripada lima beradik tersebut mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2, Selangor dan minatnya terhadap catur bermula ketika beliau masih kecil iaitu seawal usia 10 tahun lagi.

Seperti juga The Queen’s Gambit, kisah inspirasi Nur Batrisya ini wajar didedahkan kepada lebih ramai pemain-pemain muda, terutamanya golongan perempuan kerana biasanya permainan ini didominasi kaum lelaki.

Foto Facebook The Hacker Checker
– Foto Facebook The Hacker Checker

The Queen’s Gambit merupakan siri-mini televisyen 7-episod terbitan Netflix yang dihasilkan berdasarkan sebuah novel fiksyen karya Walter Tevis pada tahun 1983.

Memaparkan kisah seorang anak yatim, Beth Harmon lakonan Anya Taylor-Joy yang mempunyai kebolehan luar biasa bermain catur sehingga digeruni lawannya yang rata-ratanya adalah lelaki hingga membawanya ke peringkat kejohanan antarabangsa.

Mendapat sambutan yang luar biasa termasuk di Malaysia, The Queen’s Gambit dikhabarkan telah memecah rekod apabila ditonton oleh puluhan juta pelanggan Netflix sejurus sahaja selepas dilancarkan.

Di Amerika Syarikat, fenomena ini turut menyaksikan jualan set permainan catur tiba-tiba ‘terlajak laris’ dan meningkat sehingga melebihi 1000%!

Siri ini seterusnya berjaya merangkul pelbagai anugerah di serata dunia termasuklah anugerah Golden Globe pada tahun 2021 untuk Siri TV Terbaik dan Pelakon Wanita Siri TV Terbaik yang dimenangi oleh Anya Taylor-Joy.

Di Malaysia, kegilaan bermain catur akibat penangan The Queen’s Gambit juga agak ketara kerana ramai ibu bapa dilihat mula menghantar anak-anak kecil ke kelas catur untuk berlatih menjadi Beth Harmon.

Antara pencapaian terbaik Malaysia dalam sukan catur di peringkat antarabangsa dicatatkan oleh Yeoh Li Tian yang hanya berumur 21 tahun ketika memenangi emas pertama dalam kategori lelaki Sukan SEA di Filipina pada tahun 2019.

Diharap dengan terbukanya laluan yang ditunjukkan oleh Nur Batrisya ini, akan lahir lebih ramai pemain catur tempatan di peringkat kejohanan antarabangsa sehingga ada yang berjaya dinobatkan gelaran Grandmaster oleh International Chess Federation satu hari kelak.

BACA: Master Catur Saman Netflix RM20.86 Juta Kerana Salah Siar Fakta Dalam Siri The Queen’s Gambit

Sumber: Sinar Harian