Foto Instagram Nur Ameera Khan, Twitter GSC, United International Pictures (UIP)

Insiden Curi Rakam ‘House Of Gucci’, Tindakan Ameera Dilihat Sebagai Memalukan Malaysia

Perkongsian klip video filem House of Gucci yang dibuat oleh Nur Ameera Khan atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan baru-baru ini banyak menimbulkan reaksi kurang senang penduduk di Malaysia.

Tindakan Ameera yang memuat naik babak dalam filem House of Gucci melalui Instagram Story (IGs) milik beliau itu turut dikecam netizen kerana filem tersebut masih belum ditayangkan di sini.

Foto Instagram Little Miss Khan
– Foto Instagram Little Miss Khan

Dalam satu kenyataan, Golden Screen Cinemas (GSC) memberitahu pihaknya memang memandang serius insiden perkongsian sedutan filem tersebut ke media sosial dan sudah mengambil tindakan lanjut bagi menjaga kepentingan pemegang hak karya berkenaan.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter telah membangkitkan mengapa perbuatan curi rakam tersebut dibenarkan oleh GSC kerana masih ada individu yang selamba melakukannya.

Pihak GSC turut menambah bahawa pengedar filem House of Gucci iaitu United International Pictures (UIP) sudah dimaklumkan mengenai tindakan Ameera tersebut untuk tindakan lanjut.

Sebagai pempengaruh media sosial, Ameera yang juga adik kepada selebriti popular Neelofa, dilihat seperti tidak menghiraukan undang-undang berhubung aksi curi rakam hingga sanggup melakukan apa saja demi mahu menghasilkan kandungan buat tatapan pengikutnya.

Selain dari dikecam netizen, perbuatannya itu turut mendapat perhatian dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, jika sabit kesalahan, pemilik pawagam boleh mengambil tindakan tegas terhadap selebriti terbabit.

Beliau turut menambah, pawagam boleh mengenakan tindakan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan Akta 322, Bahagian VIA Antirakaman Kamera.

“Menurut Perkara 43A, jika disabitkan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha pula menganggapnya sebagai memalukan dan boleh mencalarkan nama negara kerana melibatkan karya asing.

“Jangan anggap isu ini sebagai remeh. Kita tidak mahu orang pandang rendah kerana sikap tidak ambil peduli itu,” tambah Pansha.

Lain pula kisahnya bagi pengarah filem pecah panggung Polis Evo 1 dan 2, Ghaz Abu Bakar yang mempunyai pandangan berbeza dan menganggapnya tidak salah kerana Ameera hanya bertujuan untuk mempromosikan filem berkenaan.

“Kalau setakat hantaran yang dimuat naik itu kurang daripada 30 saat atau seminit, saya tak rasa perbuatan itu salah.

“Lainlah kalau Ameera muat naik keseluruhan filem itu dalam media sosial atau cuba mendapatkan keuntungan wang ringgit melalui perbuatannya itu.

“Bayangkan kalau Chris Hemsworth muat naik filem saya di media sosial, sudah tentu saya seronok. Jika ditanya, saya okay sahaja dengan perbuatan Ameera itu,” ulas beliau panjang lebar.

BACA: Kes Langgar SOP, Apa Sebenarnya Maksud Neelofa & Suami Dilepas Tanpa Dibebaskan?

Sumber: BH Online 1, 2, 3