Malaysia Tidak Mampu Lockdown Seperti China

KJ Jawab Mengapa Malaysia Tidak Mampu Laksana ‘Lockdown’ Seperti China

KJ Jawab Mengapa Malaysia Tidak Mampu Laksana ‘Lockdown’ Seperti China.

Tidak dinafikan, kita semua merasai pengalaman sukar ketika tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan sepenuhnya pada 2020 dan separa pada 2021.

Walaupun jumlah jangkitan masih belum mencatatkan bawah 1000, negara tidak akan melakukan pembendungan jangkitan COVID-19 bersandarkan kaedah ‘lockdown’.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan negara tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya.

Beliau dalam satu hantaran menerusi media sosial Twitter mengulas strategi China dalam menangani COVID-19 di negara itu.

Dalam penjelasannya, Khairy mengakui pendekatan China itu berkesan namun Malaysia mengamalkan strategi mitigasi dalam mengawal pandemik COVID-19.

china covid-19

Sebab Malaysia tidak mampu laksana ‘lockdown’ seperti China

“Tidak dinafikan pendekatan China berkesan. Namun strategi mereka iaitu containment atau zero COVID-19 bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif. Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita mitigation.

“Bermaksud kita mengurus kes positif dengan berkesan, tingkatkan jumlah vaksinasi, jaga SOP (prosedur operasi standard), #TRIIS agar kadar kematian menurun, penggunaan ICU (unit rawatan rapi) turun dan kemasukan hospital turun,” katanya.

Ulasan itu sebagai membalas kritikan dilontarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, terhadap beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengendalikan pandemik COVID-19 di negara ini.

Pembukaan tahun baharu memperlihatkan kerajaan China melaksanakan perintah berkurung terhadap lebih sejuta penduduk di Yuzhou di wilayah Henan selepas tiga kes jangkitan COVID-19 yang tidak bergejala dikesan di bandar tersebut.

Langkah itu diambil ketika China terus berusaha melaksanakan dasar ‘sifar COVID-19’ yang dianggap kebanyakan negara lain sebagai tidak masuk akal.

Perintah berkurung itu menyaksikan 1.17 juta penduduk Yuzhou tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Sementara itu, menerusi indeks yang dibentangkan oleh Nikkei Asia, Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 daripada 122 negara atau wilayah dalam Indeks Pemulihan COVID-19 yang mengukur tahap pemulihan sesebuah negara daripada pandemik.

Malaysia antara yang mengumpul mata tertinggi bagi negara ASEAN selepas mengambil kira aspek pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.