kanak-kanak

Anak Boleh Jadi ‘Loser’ Dari Kecil Lagi Sekiranya Ibu Bapa Terus Buat Begini

Usia kanak-kanak sekitar 6 hingga 11 tahun merupakan usia yang paling kritikal sekali. Di sinilah pemikiran mereka mula berkembang dan sedang menerima pelbagai info untuk mereka hadam.

Kita pula sebagai ibu bapa terlalu mengharap kepada anak ini sehingga kadang-kadang memberi tekanan yang tak perlu kepada mereka.

Perkara inilah yang ditekankan oleh Parent Connect. Tekanan ini bakal memberi kesan negatif kepada anak-anak kita. Ketahui lebih lannjut penerangannya di bawah.

FASA YANG MEMBENTUK SEORANG ‘LOSER’

Apabila kanak-kanak didedahkan kepada penilaian akademik terlalu awal dalam hidup, maka tekanan ke atas mereka untuk memenuhi harapan orang dewasa juga bermula terlalu awal dalam hidup mereka.

Jika anda mempunyai anak yang akan menamatkan zaman tadika ataupun yang baru selesai tahun 1, janganlah terlalu cepat menilai anak sebagai ‘tak pandai’ hanya berdasarkan penilaian yang dibuat pada tahap itu.

Perjalanan anak-anak usia itu baru sahaja bermula.

Usia 6-11 TAHUN adalah usia mencari keupayaan dan kelebihan diri. Ibubapa dan guru-guru di sekolah memainkan peranan yang sangat penting sepanjang 5 tahun itu untuk membantu memantapkan keupayaan dan kelebihan yang dikenalpasti dalam diri anak.

Pendapat ibubapa, guru dan rakan-rakan menjadi ‘SUARA HATI’ anak-anak usia ini. Mereka membina konsep diri dari kata-kata yang mereka dengar tentang diri mereka.

Seandainya pada usia seawal 6-7 tahun lagi tindakan dan perkataan yang diucapkan oleh ibubapa memberi isyarat kepada anak bahawa anak tidak ada harapan, anak tidak pandai seperti orang lain, anak tidak mencapai piawaian yang sepatutnya dan anak tidak memenuhi jangkaan, maka bayangkan dari peringkat awal lagi anak sudah tidak yakin dengan kebolehan dirinya sendiri dan merasa inferior.

‘Sense of competence’ atau rasa berupaya hanya terbina dalam diri anak-anak usia ini apabila mereka berjaya membentuk kecekapan ketika BERMAIN (pada usia awal) dan kecekapan MENYELESAIKAN TUGASAN sekolah pada usia seterusnya. Semua ini adalah PROSES YANG BERTERUSAN dan tidak boleh dinilai hanya pada satu tahap yang tertentu sahaja.

Anak-anak yang sentiasa diberi KATA-KATA PERANGSANG dan galakan akan tumbuh sebagai seorang insan yang yakin dengan kebolehan dirinya sendiri dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.

Manakala anak yang tidak dirai dan tidak mendapat sokongan ibubapa dan guru akan tumbuh sebagai seorang individu yang sentiasa meragui keupayaan dan kebolehannya sepanjang proses mengenali diri pada usia tersebut.

Bayangkan anak yang merasakan diri ‘tidak berupaya’, ‘tidak pandai’, ‘tidak sempurna’ ini akan melangkah kaki ke USIA REMAJA dengan menganggap dirinya sebagai seorang ‘LOSER’.

Konsep diri yang sebegini selalunya akan membawa padah ke atas diri anak itu, keluarga dan juga masyarakat secara umumnya kerana mereka akan ‘rebel’ dengan sangkaan bahawa diri tidak bernilai.

kanak-kanak

PERANAN IBUBAPA DAN GURU.

Berikanlah galakan dan sokongan kepada anak-anak usia 6-11 tahun ini. Mereka masih dalam proses MENGENALPASTI KEUPAYAAN DAN MEMBINA KOMPETENSI. Melalui interaksi sosial bersama rakan-rakan dan guru di sekolah mereka sedang membina rasa bangga dengan keupayaan dan pencapaian diri yang akan mendorong mereka untuk terus berusaha.

HARGAI SETIAP USAHA anak usia ini walaupun usaha itu kecil kerana usaha kecil inilah yang akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar. Kritikan, kutukan, cemuhan dan merendah-rendahkan diri dan keupayaan mereka tidak akan menggalakkan mereka untuk terus berusaha.

Janganlah meletakkan kejayaan akademik pada usia awal sebagai syarat untuk anak mendapat perhatian dan kasih sayang anda.

Janganlah dijauhkan diri anak yang dirasakan ‘tidak berjaya’ pada usia 6-11 tahun ini dengan menghantar ke mana-mana institusi supaya dia memperbaiki diri. Tindakan sebegini hanyalah dilihat oleh anak sebagai satu HUKUMAN ke atasnya kerana anak usia ini masih memerlukan perapatan, belaian, sokongan dan bimbingan secara langsung dan berterusan daripada ibubapa yang berada di sisinya.

BACA: Rangkul Ijazah Fizik Di Usia 11 Tahun, Kanak-Kanak Ini Rancang Untuk Jadikan Manusia Kekal Abadi

Sumber: Parent Connect