black hole

Lelaki Ini Perbetulkan Fakta Teori Black Hole Penerangan Ustaz Auni. Reaksi Netizen Bercampur Baur

Pada tahun 2019, Ustaz Auni ada memberi syarahan mengenai teori lohong hitam atau pun black hole.

black hole

Apa itu lohong hitam (black hole)?

Menurut semakan Wikipedia, lohong hitam atau lubang gelap adalah tumpuan jisim dengan medan graviti yang sungguh kuat hinggakan halaju lepasan berhampiran dengan lohong hitam melebihi kelajuan cahaya. Ini membayangkan bahawa tiada sesuatu bendapun, termasuk cahaya, mampu melepasi gravitinya, dengan itu istilah “hitam/gelap”.

Istilah “lubang gelap” digunakan secara meluas, walaupun teori itu tidak merujuk kepada sebarang lubang dalam bentuk biasa.

Walau bagaimanapun, dikatakan terdapat beberapa fakta yang disampaikan oleh Ustaz Auni kurang tepat. Seorang pengguna Facebook bernama Zamir Mohyedin tampil membetulkan fakta tersebut. Mari kita ikuti penerangan beliau.

Ada banyak perkara yang perlu dibetulkan dalam video di bawah yang mempunyai 712K tontonan.

1. Peristiwa Isra’ Mikraj merupakan tanda aras (benchmark) penerokaan/kajian angkasa.

Ini tidak benar. Kajian angkasa dibuat dengan pelbagai sebab. Antaranya manusia dahulu kala kaji angkasa untuk tahu musim menuai, musim menanam, ramalan cuaca dan bencana.

Selain itu, terdapat golongan kaji angkasa kerana mahu tahu sifat tabii alam semesta.

Objektif utama penerokaan angkasa (naik ke angkasa) pula bertunjangkan hegemoni. Rusia dan Amerika Syarikat merupakan dua negara terawal yang berlumba-lumba naik ke angkasa. Motifnya untuk tunjukkan teknologi siapa lebih maju untuk meranapkan negara lain.

2. Pembetulan tentang teori kerelatifan.

Video ini mendakwa semakin laju kita bergerak, masa akan jadi semakin pendek. Beliau menggunakan analogi, kalau laju bergerak, lagi cepat sampai yang mana tersasar dengan maksud sebenar teori kerelatifan.

Dalam teori kerelatifan khas, semakin laju kita bergerak, sebenarnya masa jadi semakin memanjang. Masa menjadi dilat (dilute). Masa yang dilat (time dilation) bermaksud, semakin laju kita bergerak, masa yang kita alami lebih perlahan berbanding orang yang bergerak perlahan.

Kelajuan ini terpakai dan signifikan apabila kita bergerak menghampiri kelajuan cahaya, bukan kelajuan 280 km/j seperti yang dianalogikan dalam video.

1 saat orang yang bergerak menghampiri kelajuan cahaya terasa lebih panjang berbanding 1 saat orang yang pegun.

Apabila kita bergerak menghampiri kelajuan cahaya, ia boleh mengakibatkan kita lambat menua berbanding orang yang pegun.

3. Dakwaan Albert Einstein menteorikan tentang pengembangan alam.

Ini mungkin ramai tidak tahu. Awal kurun ke-20 dulu, ramai saintis percaya alam ini statik dan tidak berkembang. Malah, ramai saintis percaya alam telah wujud seadanya, tiada permulaan.

Einstein dulu pun tidak percaya alam ini berkembang. Sewaktu Georges Lemaitre dan Alexander Friedmann merumuskan alam ini berkembang melalui teori kerelatifan am, Einstein menambah pemalar kosmologi dalam teorinya untuk menjadikan alam ini statik.

Tetapi Einstein akui kesilapannya setelah banyak bukti, terutamanya daripada Edwin Hubble, yang menunjukkan alam ini berkembang.

4. Dakwaan tentang Robert Woodrow Wilson.

Wilson dan rakannya, Arno Allan Penzias menemui latar sinaran kosmik bagi menguatkan teori dentuman besar (big bang). Tetapi bukan mereka yang merumuskan dan mencipta teori dentuman besar seperti yang didakwa di dalam video. Georges Lemaitre yang merumuskan teori dentuman besar.

5. Dakwaan sinaran punca dentuman besar tercetus.

Tiada saintis yang mendakwa punca dentuman besar adalah daripada sejenis sinaran. Mungkin beliau keliru dengan latar sinaran kosmik yang ditemui oleh Wilson dan Penzas.

6. Video siap cakap Stephen Hawking bangang kerana wujudkan teori lohong hitam untuk menyanggah teori yang tidak wujud (sinaran sebagai pencetus dentuman besar).

Sedangkan Stephen Hawking wujudkan teori lohong hitam (lebih khususnya ketunggalan lohong hitam) tersebut kerana saintis tidak tahu bagaimana keadaan sebelum dentuman besar itu tercetus. Inspirasi daripada Roger Penrose, Hawking berpendapat alam semesta bermula daripada ketunggalan (singularity).

Mungkin penceramah keliru dengan konsep lohong hitam dan sinaran sehingga tersilap huraiannya. Hawking pernah merumuskan bahawa lohong hitam melepaskan sinaran (dipanggil sinaran Hawking). Apabila sinaran dilepaskan, lohong hitam akan jadi semakin nipis dan proses penyejatan ini menyebabkan kematian lohong hitam kelak.

Sekadar maklumat tambahan: lohong hitam bukan lagi teori. Kita telah berjaya mencerap gambar lohong hitam pada tahun 2019. Pada tahun 2020, topik lohong hitam memenangi Hadiah Nobel Fizik.

Kalau mahu lebih tercerah lagi tentang ilmu alam semesta, boleh dapatkan buku saya, Genesis: Kosmologi & Dunia Kuantum di pasaran.

Sumber: Zamir Mohyedin