harta pusaka

Prosedur Tuntutan Harta Pusaka Amat Leceh, Ramai Yang Putus Asa Di Tengah Jalan

Pengurusan harta pusaka adalah antara perkara yang kurang dipandang oleh masyarakat kita.

Tahukah anda, proses untuk membuat permohonan harta pusaka kepada waris si mati adalah sangat leceh. Banyak dokumen dan prosedur diperlukan, kadang-kadang ada waris yang menyerah kalah untuk meneruskan proses tuntutan kerana terlalu renyah.

Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Mayee Nazrich. Beliau berkongsi kisah benar yang dilalui oleh kenalannya. Jom kita ikuti perkongsian beliau.

PENTINGNYA PENGURUSAN HARTA PUSAKA

Perkongsian dari Puan Sariyah Ismail.

Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman dalam menguruskan harta pusaka abang saya yang bernilai kurang RM2 juta, tidak berwasiat, tidak dihibahkan dan penama telah meninggal dunia terlebih dahulu.

Abang saya meninggal tanpa waris isteri serta anak. Isteri arwah meninggal terlebih dahulu dan perkahwinan abang tidak dikurniakan anak.

Adik beradik pula, hanya tinggal saya yang bongsu. Abah serta mak dan abang-abang lain telah meninggal dunia juga.

Setelah melalui proses menguruskan harta pusaka arwah, baru saya faham kenapa ramai yang tidak sanggup menguruskan dan banyak harta orang Islam telah dikumpulkan ke Baitulmal.

1. Sebelum membuka fail untuk perbicaraan tuntutan sebagai pentadbir untuk menguruskan harta pusaka, kita perlu dapatkan ‘latest statement’ dari semua agensi-agensi kerajaan (termasuk Pejabat Tanah) serta bank-bank. Saya telah berulang alik ke 2 bank, ASB, Tabung Haji, KWSP serta Socso. Socso adalah kerana arwah abang penerima pencen ilat dari isteri. Saya hanya memberitahu supaya pencen diberhentikan.

2. Untuk dapatkan semua ‘statement’ tersebut, saya perlu menyediakan dokumen-dokumen seperti dibawah:

a. Sijil asal dan salinan sijil kematian dan surat beranak abang. Sijil kematian perlu kita mohon dari JPN (oleh waris terdekat) dengan membawa surat pengesahan kematian serta pengkebumian.
b. Salinan sijil arwah kakak ipar, salinan sijil nikah.
c. Sijil asal dan salinan surat beranak serta kad pengenalan diri saya sebagai bukti saya adik kandung seibu sebapa.
d. Carian terbaru, cukai tanah terbaru serta geran asal tanah.

3. Perlu diingat, Tabung Haji tidak akan membenarkan atau melayan sebarang permohonan untuk mendapatkan ‘statement of balance’. Mereka hanya proses permohonan sebagai pentadbir setelah saya dapatkan surat perintah dari mahkamah.

4. Setelah semua dokumen diperolehi, saya memohon melalui PTG secara online. Sini saya ingin berterima kasih and memuji PTG dan pihak Mahkamah kerana mereka telah memproses permohonan saya dalam jangka masa yang pendek walaupon semasa musim pandemik.

5. Sebagai persiapan ke mahkamah, selain dari dokumen-dokumen yang telah saya sebutkan di atas tadi, saya telah menyiapkan borang DDA, salinan IC, surat beranak dari semua waris, serta sijil kematian abah, mak, dan abang-abang.

6. Semasa perbicaraan, Hakim telah meminta untuk melihat segala dokumen-dokumen asal serta ‘cross reference’ dengan segala dokumen-dokumen yang telah di’upload’ semasa permohonan online. Hakim juga menjalankan siasatan untuk memastikan semuanya tulen dan benar.

Disebabkan semua waris-waris lain telah mewakilkan saya sebagai pentadbir, maka hanya saya perlu hadir di mahkamah bersama ‘DDA form’.

7. Alhamdulillah segala urusan berjalan lancar semasa perbicaraan. Saya telah menerima surat sebagai pentadbir lebih kurang sebulan dari tarikh perbicaraan.

8. Saya telah kembali semula ke bank-bank dan agensi-agensi kerajaan untuk menyerahkan surat perintah tersebut. Setiap agensi dan bank mempunyai proses yang berlainan dan ada memerlukan saya mengisi lagi borang. Bukan itu sahaja, lagi sekali saya telah diminta untuk menyerahkan berbagai salinan dokumen.

9. Sesetengah agensi seperti ASB dan Tabung Haji hanya akan memindahkan wang ke dalam akaun ASB dan Tabung Haji penerima. Mereka tidak akan memindahkan wang ke dalam akaun bank.

10. KWSP dan bank pula akan menyediakan check atau transfer terus ke dalam akaun bank kita.

Bank BSN memerlukan ‘statement’ dari bank penerima sebagai bukti itu adalah akaun penerima.

11. Dari kalangan agensi kerajaan dan bank di atas, Maybank dan KWSP adalah yang paling efisyen dan kurang birokrasi. Terima kasih saya ucapkan kerana memudahkan.

12. ASB memerlukan saya mengisi borang pertambahan serta setem dari pesuruhjaya sumpah.

13. BSN pula meminta saya mengisi borang tambahan serta bukti statement bank penerima.

14. JPJ pula memerlukan pengesahan dari Puspakom serta borang juga. Yang ni mungkin kerana kereta dah lebih 15 tahun.

15. PTG seperti lazimnya, memerlukan salinan geran asal, salinan cukai terbaru serta salinan IC dan sijil kematian.

16. Yang paling leceh adalah Tabung Haji. Hakim telah mempersoalkan kenapa mereka tidak boleh mengeluarkan statement of balance.

17. Rata-rata hampir kesemuanya akan hanya selesai sebulan ke 2 bulan selepas saya menyerahkan surat mahkamah. Segalanya dimulakan dari akhir bulan Februari. Sekarang sudah pon November.

harta pusaka

Kenapa saya berkongsi disini?

Saya mahu rakyat kita terutama sekali yang beragama islam peka tentang birokrasi yang tidak seragam di negara kita. Setiap agensi dan bank ada prosedur tersendiri.

Saya tak boleh bayangkan sekiranya tuntutan melebihi RM2 juta atau kehilangan dokumen, tak tahu susur galur keluarga atau tidak sepakat dalam pengurusan dan agihan harta.

Tidakkah surat mahkamah cukup untuk pengesahan tapi perlu pula disediakan bermacam-macam lagi dokumen? Tak lakukah perintah mahkamah? Saya faham sekiranya salinan IC serta sijil kematian diperlukan, tapi perlu pula mengisi ‘indemnity’ form.

Pertanyaan saya hanya dijawab sebagai ‘inilah prosedur kami Puan kalau ada audit atau sebarang komplen berlaku’.

Bayangkan masa yang diambil untuk menguruskan harta pusaka. Saya sihat dan telah bersara, jadi senang untuk saya ke sana ke mari. Bagi waris yang tua, uzur atau sedang bekerja, berapa harikah perlu mereka mengambil cuti?

Kenapakah proses-proses tuntutan ini tidak boleh diseragamkan supaya ianya lebih memudahkan?

Memudahkan tidak bermakna segala ‘check and balance’ diabaikan.

Sebab itulah ramai yang give up dan harta orang Islam banyak tidak dituntut.

LAGI SATU WAHAI SAHABAT-SAHABATKU, LEBIH AFDAL SEKIRANYA ANDA SEDIAKAN WASIAT ATAU HIBAHKAN HARTA SEMASA HIDUP.

BACA: Serah Semua Harta Arwah Anak Kepada Menantu, Kisah Pasangan Suami Isteri Ini Kembali Tular

Sumber: Mayee Nazrich