Human Genome Project

Apa Itu Human Genome Project Dan Benarkah Kita Yang Lalai?

Baru-baru ini tular di media sosial tentang satu video pelancaran sebuah parti politik baharu yang dianggotai lebih 50 ribu orang ahli daripada sebuah NGO membawa slogan The Great Reset 2030 dan dalam sidang media, wakil pertubuhan tersebut secara tak sengaja menyebut “Genome Modification”.

Walaupun wakil pertubuhan itu telah tersasul menyebut perkataan tersebut, namun tak ramai yang faham tentang apa itu genom. Perkara ini diterangkan oleh seorang pengguna Facebokk bernama Zamir Mohyedin yang menerangkan tentang Human Genome Project (HGP), satu cabang ilmu teknologi biologi. Mari kita ikuti ulasan beliau.

Human Genome Project (HGP) adalah projek yang telah lama dilancarkan iaitu pada tahun 1990. Projek ini dilancarkan bagi menghasilkan kamus dan cetak biru jujukan DNA manusia.

Apa itu genom? Genom adalah maklumat genetik organisma termasuk manusia. Genom manusia terdiri daripada 23 pasangan kromosom. Kromosom-kromosom ini pula terdiri daripada sekitar 25,000 hingga 30,000 gen. Gen-gen pula terdiri daripada DNA yang mempunyai 3 bilion pasangan bes (base pair).

Saintis mengambil tempoh berpuluh tahun untuk kenalpasti pasangan bes ini yang menelan belanja sehingga 3 bilion dolar. Melibatkan ratusan saintis dan berdozen negara. Amnya, projek ini dilancarkan bagi memahami dan mengenalpasti seluruh jujukan DNA manusia.

Manusia ada banyak penyakit dan telah banyak penyakit kita boleh rawat, tetapi penyakit genetik dan peyakit keturunan adalah penyakit yang paling sulit untuk ditangani, termasuklah penyakit kanser.

Penyakit genetik semakin berleluasa di zaman ini kerana manusia telah berupaya membina persekitaran yang mana orang berpenyakit pun dapat hidup lama. Jadi, orang yang berpenyakit berpotensi melangsungkan hidup, membiak dan menghasilkan keturunan. Populasinya semakin membesar.

Sebab itulah saintis bertungkus lumus untuk mendatangkan kaedah rawatan untuk hapuskan penyakit-penyakit genetik. Kita mempunyai kaedah rawatan penyakit genetik seperti terapi-gen (gene-therapy) dan penyuntingan-gen (gen-editing/genome modification) tetapi tanpa kamus jujukan DNA manusia, kaedah ini pun susah untuk dilaksanakan.

Penyakit genetik seperti sindrom Down, talasemia, sel sabit anemia, diebetes, penyakit-penyakit kanser dan pelbagai lagi dapat dikenalpasti dengan lebih jitu melalui projek HGP. Kita dapat kenalpasti mutasi-mutasi berpenyakit melalui HGP. Kita dapat tentukan kaedah rawatan yang lebih selamat dan tempat melalui HGP.

Malah, senarai lengkap jujukan DNA ini dapat diakses oleh orang awam. Tiada apa yang perlu dirahsiakan. Anda boleh lihat di salah satu laman sesawang ini.

Human Genome Project

Manfaatnnya sangat besar kepada manusia. Kalau kita paranoid tidak tentu hala dengan HGP, apa solusi yang boleh kita tawarkan untuk merawat penyakit keturunan dan genetik yang selama ini kita sangka mustahil untuk dirawat? Apakah solusi kita untuk memastikan keuturunan kita tidak mewarisi penyakit genetik yang kita bawa?

Pada tahun 2020, teknologi penyuntingan gen memperoleh Hadiah Nobel Kimia. Sebelum ada penyuntingan gen, kita pernah ada terapi-gen yang telah merawat beribu orang yang mempunyai penyakit genetik, terutamanya kanser sejak tahun 90-an lagi.

Berbanding terapi-gen, penyuntingan-gen merawat penyakit genetik secara langsung dengan lebih tepat dan lebih berkesan. Malah lebih murah. Kadangkala, terapi-gen perlu dilakukan secara berkala untuk sembuh. Penyuntingan gen terus boleh sembuh.

Walaupun canggih, kita tidak boleh suka-suka sunting gen terus penyakitnya dapat dirawat. Kalau salah sunting, boleh datangkan penyakit lain pula. Kita perlu kenalpasti apakah gen ataupun mutasi yang menyebabkan penyakit itu muncul.

Itulah pentingnya projek HGP. Dengan HGP, kita dapat kenalpasti jujukan DNA mana yang bermasalah, apa yang perlu disunting ataupun dirawat supaya penghidapnya dapat kembali sihat. Baru-baru ini dilaporkan, penyusunan jujukan DNA manusia telah disytiharkan lengkap.

Saya huraikan topik ini panjang lebar dalam buku saya akan datang iaitu Genesis II.

BACA: Saintis Malaysia Terima ‘Anugerah Nobel Untuk Kajian Kanser’

Sumber: Zamir Mohyedin