banjir hulu langat

Banjir Hulu Langat, Apa Yang Berlaku Sebenarnya?

Banjir yang melanda Lembah Klang pada pertengahan Disember 2021 masih belum reda. Banyak kawasan yang masih ditenggelami air dan proses bantuan dari segi permbersihan terus giat dijalankan.

Disebabkan kawasan yang paling terjejas teruk di Taman Sri Muda, Shah Alam, ada beberapa lokasi lagi yang turut terima tempias yang sama namun kurang mendapat perhatian pihak media-media. Salah satu kawasan yang turut terjejas adalah Hulu Langat.

Seorang pengguna Facebook bernama Pena Celoreng telah membuat satu hantaran mengenai apa yang telah berlaku di Hulu Langat. Jom kita ikuti perkongsian beliau.

APAKAH YANG SEBENARNYA BERLAKU DI HULU LANGAT?

Tiga hari berturur-turut, saya menjelajah kawasan banjir Hulu Langat khsusunya di kawasan Sungai Lui. Termasuk semalam, kali ketiga saya masuk.

Di samping membawa barang-barang bantuan dari rakan-rakan, saya sebenarnya cuba menggunakan deria ke-6 mencari jawapan APA YANG SEBENARNYA BERLAKU DI HULU LANGAT pada malam kejadian. Dalam masa yang sama, saya cuba membaca HIKMAH Allah SWT yang ingin diberi kepada kita.

Ini ialah ulasan peribadi saya berdasarkan analisa di atas tanah:

Premis: Saya menolak teori air laut pasang besar kerana Hulu Langat terlalu jauh dengan laut dan aliran air sungai di sini sangat deras. Maksudnya tak membuak kembali ke Hulu Langat.

1. Punca kepala air datangnya dari Sungai Peras yang hanya luasnya sekangkang saya sahaja. Sungai ini dalam peta pun tak ada. Sungai ini memuntahkan kepala airnya di Simpang Peras.

Melihat pada kesan kepala air, MasyaAllah. Siapa sangka sungai yang hanya luas sekangkang sahaja, begitu luas dan banyaknya muntah kepala air.

Saya tak tahu dari mana datangnya sisa-sisa kayu balak yang begitu banyak. Aliran arus Sungai Peras ini mengalir laju kerana ia meneruni cerun bukit.

Maka, semua rumah-rumah atau apa sahaja yang ada di laluannya, dimusnahkan. Saya tak ada jawapan atau tak jumpa jawapan kenapa kepala air Sungai Peras terlalu besar. Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.

2. 6 Kepala air bergabung. Hujan yang lama, lebat dan berlaku di semua tempat telah menyebabkan berlakunya 6 kepala air di 6 sungai di Hulu Langat.

Enam sungai ini ialah kepala air Sungai Lui, kepala air Sungai Peras, kepala air Sungai Bagak/Sungai Leweng, Kepala Air Sungai Pagar, kepala air Sungai Gabai dan kepala air Sungai Langat.

Apabila ia bergabung, maka berlakulah kedahsyatan yang tidak dapat dibayangkan. Momentum aliran sungai ini menjadi terlalu kuat setelah bertemu atau bergabung.

Maka, ia menyebabkan air sungai naik dengan terlalu cepat sehingga penduduk tak sempat bertindak dan ia turut melanda ke kawasan yang tak pernah banjir. Maka tragedi ini berlaku dalam mana penduduk langsung tak bersedia. Sila lihat ilustrasi peta.

banjir hulu langat

3. Kekuatan dan momentum aliran air Sungai Lui yang bergabung dengan bebrapa sungai yang saya nyatakan di atas, kemudiannya bertemu dengan air Sungai Langat yang luas itu. Melihat kesan ditebing kiri dan kanan, pastinya Sungai Langat yang mengalir dari Pangsun pada malam itu juga ada kepala air.

Saya tak pasti sama ada air Empangan Sungai Langat dilepaskan atau tidak pada malam kejadian. Jika ia dilepaskan, maka ia juga turut menyebabkan air yang terlalu banyak. Maka, apa sahaja yang ada di kiri dan kanan Sungai Langat turut musnah.

4. Corak pembangunan rumah. Hampir 80% rumah-rumah atau chalet-chalet di kawasan Sungai Lui dan Sungai Langat dibina di tepi-tepi sungai kerana keindahan sungai ini. Malah ada rumah-rumah yang tiangnya di tebing sungai.

Maka apa sahaja yang ada di kiri dan kanan Sungai Lui, Sungai Gabai, Sungai Pagar, Sungai Bagak/Sungai Leweng dan Sungai Langat akan dibawa arus yang deras itu. Kedahsyatan aliran sungai ini menjadi lebih melampau kerana aliran sungai yang bengkang-bengkuk.

Maknanya, arus sungai yang kuat terhalang dek tebing sungai yang bengkang-bengkuk, maka ia membuak ke kawasan di kiri dan kanannya. Di sinilah kawasan yang paling teruk.

5. Hampir semua dusun durian di tepi sungai dimusnahkan. Batang-batang pokok durian bergelimpangan di kiri dan kanan sungai. Tumbang dan tercabut dek derasnya arus.

RUMUSAN

1. Kejadian banjir Hulu Langat melampau seumpama ini sama sekali tidak diduga dan tak terbayang akan berlaku oleh penduduk-penduduk di sepanjang Sungai Lui dan Sungai Langat yang telah puluhan tahun tinggal di situ. Kalau berlaku banjir pun hanya melibatkan kawasan Nanding sahaja. Begitu juga dengan pihak berwajib sama sekali tidak menjangkakannya.

2. Justeru, kita akan mengambil sikap tunggu dan lihat kerana dah puluhan tahun rumah kita tak pernah dilanda banjir. Dan kita mungkin fikir, mustahil air akan sampai ke rumah kita, tetapi malam itu, ia sampai. Maka semuanya menjadi sangat cemas dan kelam kabut.

Juga tanpa sebarang persediaan. Kenapa nak ada bot di rumah kerana puluhan tahun air tak pernah sampai di rumah?

3. Dalam mana-mana kejadian bencana yang tak terjangka di dunia ini, pada malam atau masa kejadian, segala-galanya adalah kelam kabut, tak dapat diurus langsung, malah kita tak tahu nak buat apa yang terbaik selain lari menyelamatkan diri. Naik atas bumbung adalah yang terbaik kerana air sudah tinggi.

4. Bantuan dari luar. Di mana-mana kejadian bencana yang tak terjangka, pada masa kejadian tercetus, lebih-lebih lagi pada malam yang gelap itu, bantuan dari luar tidak akan sampai pada masa yang genting itu. Melainkan ia datang dari pasukan-pasukan penyelamat yang ada berdekatan atau ada dalam kawasan bencana.

5. Hakikatnya, masih banyak lagi penduduk yang rumah mereka selamat. Tidak terjejas sedikit pun dek rumah mereka tidak berada di laluan kepala air dan mungkin di atas tanah yang lebih tinggi.

Saya rumus secara congak, rumah-rumah yang tak kena ialah 70%. Yang kena banjir Hulu Langat ialah 30%. Meninjau keadaan di kawasan yang tak terjejas ini, melihat sikap dan membaca tahap keprihatinan (penduduk sekeliling), saya ada banyak persoalan.

Dalam hal ini saya ingin kongsi kisah dua hari lepas.

Rakan saya yang juga mangsa banjir Hulu Langat di Sungai Lui menelefon mengatakan mereka tak ada makanan untuk dimakan.

Saya agak terkejut kerana meihat berduyuh-duyun 4×4 NGO dan orang persendirian yang masuk hantar makanan.

Tanpa banyak soal, saya dan dua orang rakan lagi dengan segera memborong barang makanan di Mydin. Langsung kami terus ke rumah rakan saya. Perjalanan agak jauh kerana kami terpaksa masuk melalui Semenyih, Jalan Sungai Lui.

Setelah tiba di kawasan perumahan rakan saya, saya rasa sangat kecewa. Saya kata macam ni:

Saya: Macam mana hang kata tak ada makanan nak makan? Ni bertimbun beras, bertong sardin orang bagi.

Kawan: Kami tak boleh nak masak, karan (elektrik) tak ada.

Saya: Kepala ho…. kau! Kau masaklah pakai api! Tu kayu berlonggok. Letak batu sahaja jadilah tungku. Takkan tak boleh masak?

Kawan: Bolehlah masak tapi payahlah sikit.

Saya: Apa yang payahnya? Tu, kau tengok jiran-jiran kau sebelah atas. Semua rumah orang berada. Air sikit pun tak kena. Takkan depa tak boleh masak unttk jiran-jiran yang kena musibah? Di mana semangat kejiranan kau orang?

Kawan: Kalau macam nanti tak apalah. Nanti kami masak. Ni karan tak ada, malam gelap. Susah juga.

Saya: Yagg tu TNB sedang semak main wire, esok depa akan on semua. Nak kena semak takut ada yang kena karan. Guna lilin atau bergelaplah malam ni. Apa susahnya.

Saya tamatkan di sini. Sebenarnya dalam hati saya macam-macam saya cakap cuma tak sampai hati nak lontarkan.

6. Dakwaan ATM tidak ada.

Saya agak terkejut dengan dakwaan ini kerana saya tahu dan fasih SOP bekas Briged yang saya pernah perintah iaitu 11 Briged. Maka, secara diam-diam saya membuat siasatan di mana pasukan yang dalam standby mood 24/7.

Apa yang saya temui, pasukan standby mood 24/7 ini telah diatur gerak ke kawasan paling serius iaitu di kawasan Sri Muda, Shah Alam. Malah, mereka telah digerakkan lebih awal dari jangkaan saya.

Mereka digerakkan seawal jam 9 malam pada malam kejadian. Maka bantuan ke kawasan Hulu Langat sampai sekitar jam 2 pagi. Malam itu, keadaan arus sangat kuat dan ganas.

7. Bantuan kepada mangsa banjir.

Rakyat kita sudah sangat pemurah. Bertimbun-timbun bantuan makanan di beberapa pusat pengumpulan. Sudah terlalu banyak.

Maka kepada NGO-NGO yang ingin membantu, sila buat tinjauan terlebih dahulu, supaya kita menghantar barang-barang bantuan yang benar-benar diperlukan oleh mangsa.

Saya berpendapat, pusat-pusat pengumpulan ini perlu diurus dengan lebih baik. Manakala, Grab berkeliaran di mana-mana sahaja. Rasa saya takkan ada yang kebuluran di sini.

8. Sisa banjir Hulu Langat.

Di mana-mana sisa banjir ini ada dan menjadi sampah sarap yang tak terurus. Semua sampah-sampah ini dilonggokkan oleh mangsa banjir kerana ingin membersih rumah dan kawasan rumah mereka.

Maka tindakan pembersihan sampah sarap ini perlu dilakukan dengan segera dengan skala yang raksasa. Saya tak pasti ini tugas siapa sebenarnya?

Kalau tak diuruskan segera, ia akan menyebabkn bau, lalat dan akhirnya penyakit.

9. Kejadian banjir di Shah Alam, dan ibu kota KL yang bermula lebih awal iaitu pada waktu petang telah memesongkan fokus pasukan penyelamat ke sana. Semua aset di arahkan ke sana.

Siapapun tidak menghidu bau malang yang akan berlaku di Hulu Langat.

Saya ingin menutup tulisan ini dengan berkata:

*Gotong royong sangat penting
*Kejiranan sangat penting

BACA: Wanita Ini Kongsikan 16 Perkara Yang Kita Boleh Belajar Daripada Bencana Banjir Kali Ini

Sumber: Facebook Pena Celoreng