Buang Sampah Merata Punca Banjir JPS

Buang Sampah Merata Antara Punca Banjir Teruk Pada Sabtu, Kata JPS Kuala Lumpur

Walaupun sesetengah kawasan yang dinaiki air sudah mula surut, ada juga kawasan yang mana paras air meningkat semula dan usaha membantu mangsa banjir masih rancak dijalankan.

Dilaporkan, hujan lebat yang berterusan dalam tempoh 24 jam sejak lewat malam Jumaat menyamai jumlah taburan purata hujan di Lembah Klang untuk tempoh sebulan dan ia umpama fenomena yang berlaku setiap 100 tahun sekali.

Selain hujan luar biasa ini, turut dikatakan kejadian air pasang menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir.

Walau bagaimanapun, menurut Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutan Kuala Lumpur kejadian banjir baru-baru ini adalah disebabkan sampah yang terkumpul di longkang.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi mereka, JPS Kuala Lumpur turut memuat naik beberapa keping gambar yang amat menyakitkan pandangan mata kita.

“Salah satu daripada punca berlaku banjir kilat ialah masalah pencemaran longkang seperti sampah di dalam longkang.

“Banjir yang berlaku pada 18 Disember 2021 menyaksikan timbunan sampah memasuki aset-aset kerajaan di bawah seliaan JPSKL.”

JPS mengatakan, sikap suka membuang sampah merata-rata yang seterusnya memasuki longkang dan sungai menjadi faktor banjir kilat meningkat.

“Sama-sama kita jaga kebersihan, sama-sama kita bersihkan sungai kita. Air sumber kehidupan,” katanya.

Buang Sampah Merata Punca Banjir JPS
Sumber: JPS WP Kuala Lumpur
Buang Sampah Merata Punca Banjir JPS
Sumber: JPS WP Kuala Lumpur

Menerusi pada ruangan komen, ramai yang terkejut melihat jumlah sampah yang tersangkut amat luar biasa.

Ramai yang menyelar tindakan sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata tempat.

Namun begitu, ada juga yang tidak bersetuju dengan hantaran berkenaan kerana menganggap sampah sarap itu terhasil daripada barangan yang dihanyutkan ketika banjir.

Kata mereka, masalah itu sepatutnya diselesaikan pihak berkuasa tanpa perlu menuding jari terhadap orang awam.

“Naik kereta selamba je buang sampah keluar tingkap…Inikan pula buang dalam sungai.
Sikap yang sangat susah nak dibuang dalam masyarakat di negara kita.”

“Realiti sikap. Mana ada salah sendiri.”

“Sekarang sudah dapat dek kesilapan sendiri.”

Menurut JPS KL, penyelenggaraan longkang dan parit adalah di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Namun, orang awam perlu ada kesedaran dalam mengurangkan isu sampah seperti membersihkan kawasan kejiranan masing-masing.

BACA: Simpati Nasib Rakyat Malaysia Akibat Bencana Menimpa, CEO Apple Mahu Hulurkan Sumbangan

Sumber: JPS WP Kuala Lumpur