Peguam Kongsi Tindakan Perintah Injuksi

Kes Lelaki Pecahkan Cermin Kereta Isteri Hingga Bahayakan Anak, Peguam Kongsi Tindakan Yang Wajar Dibuat

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kes Lelaki Pecahkan Cermin Kereta Isteri, Peguam Kongsi Tindakan Yang Wajar Dibuat.

Media sosial beberapa hari ini hangat dengan sebuah rakaman tular seorang lelaki memecahkan cermin kereta yang dinaiki isteri dan anaknya.

Difahamkan, lelaki itu pada awalnya memaklumkan untuk memberikan wang kepada anak mereka namun apabila menghampiri kereta itu, dia mula naik angin dan memaut pada tingkap kereta yang dibuka sedikit sehingga pecah dan tercabut.

Lelaki itu dilaporkan sudah ditahan polis pada hari kejadian dan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Polis turut memaklumkan tindakan lelaki itu juga telah menyebabkan serpihan kaca turut terkena pada anaknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan.

Pasangan itu dipercayai dalam proses perceraian dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak April lalu.

Melihat pada ruangan komen menerusi video tular terbabit, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki tersebut yang dikatakan mampu memberi trauma kepada anak-anak yang masih kecil.

Peguam Kongsi Tindakan Perintah Injuksi

Kejadian ini juga turut mendapat perhatian seorang peguam syariah yang turut menyelar tindakan seorang suami bertindak kasar terhadap isterinya.

Kata Muhammad Syarafi menerusi akaun Twitter, jalan penyelesaian kes sebegini boleh diatasi dengan membuat permohonan kepada mahkamah untuk perintah injuksi.

“Perintah injuksi ini nak mudah faham satu perintah yang Mahkamah Tinggi Syariah keluarkan untuk menghalang mana-mana pihak dari mendekati pihak pemohon dalam tindakan ini dalam jarak yang ditetapkan oleh Mahkamah.

“Perintah ini boleh dimohon secara sebelah pihak (ex-parte) jika mempunyai unsur keterdesakan seperti mengancam keselamatan diri macam dalam video ditunjuk itu.

“Sebagai peguam biasanya memang kita akan advice anak guam untuk proceed dengan permohonan untuk dapatkan perintah injuksi ini supaya dapat meredakan keadaan.

“Kalau dalam sivil boleh mohon untuk dapatkan Emergency Protection Order (EPO) atau Interim Protection Order (IPO) atau Protection Order (PO).

“Cuma untuk step ini perlu dibuat laporan polis dan dapatkan panduan daripada Peguam Sivil untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Walaupun seseorang itu dalam proses penceraian dan sudah tidak sebumbung, permohonan perintah injuksi ini amat digalakkan agar dapat menjaga keselamatan diri pemohon sepanjang kes berjalan.

Sumber: Muhammad Syarafi