Laporan Ancaman Serangan Tentera Sulu Di Sabah

Ancaman Serangan Tentera Sulu Di Sabah, Pasukan Keselamatan Sedang Sahkan Maklumat

Sebuah laporan media antarabangsa mendakwa ada rancangan rahsia penubuhan Tentera Diraja Sulu dengan kekuatan 600 orang di selatan Filipina dipercayai sebagai persediaan menyerang Sabah pada Februari tahun depan.

Menurut laporan satu portal tempatan yang memetik sumber media Hong Kong, seramai 600 anggota puak pemisah dari selatan negara jiran akan menyerang Sabah.

Ketumbukan pemberontak hampir satu batalion itu dicapai menerusi operasi khas yang telah dirancang setelah beberapa siri pertemuan rahsia melibatkan 19 datuk bandar di Filipina.

Walaupun tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut, orang ramai meluahkan rasa bimbang apabila laporan itu turut memaklumkan serangan tersebut sebagai serangan balas dendam sempena memperingati peristiwa penaklukan berdarah di Lahad Datu pada 8 tahun lalu.

Laporan Ancaman Serangan Tentera Sulu Di Sabah

Menerusi The Star, Komander Esscom iaitu Timbalan Comm Datuk Ahmad Fuad Othman berkata risikan pasukan mereka telah mendapat tahu tentang pergerakan itu sebelum ini dan sedang cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada pergerakan abnormal dari luar perairan Malaysia dikesan setakat ini. Tambah beliau lagi, perbincangan mengenai pencerobohan dan tentera Sulu cuba menyerang Sabah telah berterusan sepanjang tahun.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memandang berat setiap isu yang boleh mengganggu gugat kedaulatan Malaysia dan bersedia menghadapi sebarang ancaman.

Laporan adalah berita palsu yang dimanipulasi

Menerusi maklumat terkini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali mengatakan perjumpaan 19 datuk bandar dari selatan Filipina adalah berkaitan usaha menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu daripada elemen yang menggugat keselamatan, bukan merancang plot baharu untuk menawan Sabah.

Beliau mendakwa maklumat tersebut dimanipulasi oleh individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi Sabah serta Malaysia keseluruhannya.

Peristiwa Lahad Datu meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013.

Tragedi pencerobohan itu dikaitkan dengan insiden diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 pengganas Filipina – yang menggelar sebagai Tentera Diraja Sulu sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013.

Seramai 149 lagi anggota kumpulan itu ditawan manakala 10 anggota keselamatan negara ini maut selain 12 lagi cedera dengan sejumlah enam orang awam turut menjadi korban.

Sumber: Utusan Malaysia, The Star