Ulam Raja Penyelesaian Masalah Nyanyuk

Tak Sangka Ulam Popular Ini Miliki Rahsia Kehebatan, Dilapor Mampu Atasi Penyakit Nyanyuk

Ulam raja mampu atasi penyakit nyanyuk.

Apabila mengkaji cara pemakanan tradisional, pasti kita akan mendapati bahawa budaya makan masyarakat terdahulu sebenarnya sangat seimbang. Rahsianya? Dengan makan ulam sebagai pelengkap hidangan.

Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.

Dalam masyarakat Malaysia, dementia dikenali sebagai nyanyuk. Penyakit ini mengganggu fungsi otak, dan akan berlaku secara berterusan (progresif).

Ia menyebabkan penurunan fungsi mental sehingga mengganggu aktiviti harian seseorang. Antara fungsi otak yang menerima kesan dalam penyakit dementia ialah kehilangan memori, proses berfikir dan tabiat sosial.

Tiada rawatan untuk memulihkan penyakit ini tetapi rawatan hanya diberikan untuk mengelak ia menjadi lebih teruk.

Penyelidik UKM temui ulam raja mampu atasi masalah nyanyuk

Namun, penemuan terbaharu oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini memberi sinar bagi penyelesaian kepada masalah ingatan yang sering terjadi dalam kalangan warga emas.

Menerusi kenyataan UKM di laman Facebook, Dr. You Yee Xing, dari Fakulti Sains Kesihatan menemui bahawa ulam raja yang kaya dengan polifenol dan antioksidan dapat mencegah penyakit nyanyuk.

Kehebatan ulam-ulaman sememangnya sudah diakui ramai. Sebagai contoh ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat.

Ulam Raja Penyelesaian Masalah Nyanyuk

Dr. You Yee Xing kemudiannya mencipta suplemen berasaskan ulam raja yang berpotensi bertindak sebagai agen pencegahan kecelaruan kognitif dengan menurunkan aras peroksida lipid, meningkatkan aras serum glutation dan mengaktifkan otak.

Suplemen tersebut dikatakan dapat meningkatkan fungsi kognitif global, ingatan kerja, mengurangkan ketegangan dan gangguan emosi dalam kalangan warga emas.

Penemuan ini juga dapat memberi kesan positif pada kesihatan individu dan ekonomi negara serta industri pertanian yang berkaitan dengan ulam raja.

Sumber: Facebook UKM