Ain Husniza Disaman Guru Fitnah Jenaka Rogol

Dakwa Difitnah Buat Jenaka Rogol Dan Reputasi Tercemar, Bekas Guru Saman Ain Husniza Dan Bapanya

Dakwa Difitnah Buat Jenaka Rogol Dan Reputasi Tercemar, Bekas Guru Saman Ain Husniza.

Bapa kepada pelajar perempuan yang berani mendedahkan mengenai jenaka rogol oleh bekas gurunya di TikTok, Saiful Nizam Ab Wabah mengesahkan dia dan anaknya, Ain Husniza telah menerima writ saman dan pernyataan tuntutan daripada guru berkenaan.

Guru terbabit, Khairul Nizam Sanuddin, 43, memfailkan saman tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Rasshidi Ema & Yung pada 26 November lalu dengan menama Nurain Husniza, 17, dan bapanya, Saiful Nizam Ab. Wahab, 42, sebagai defendan.

Lapor MalaysiaKini, berdasarkan salinan tuntutan tersebut guru terbabit mengemukakan saman ke atas pasangan anak-beranak berkenaan atas tiga video TikTok, tiga hantaran Twitter dan beberapa kenyataan lain yang dianggapnya fitnah di antara 23 April dan 26 Jun lalu.

Beliau turut mendakwa bapa Ain membuat kenyataan fitnah terhadapnya menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook pada 24 April apabila menuduhnya membuat jenaka mengenai rogol.

Menurut pernyataan tuntutan yang dilapor oleh Utusan Malaysia, plaintif yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA) di sini telah menyentuh sub-topik “Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual” yang terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Ain Husniza Disaman Guru Fitnah Jenaka Rogol
Sumber: Malay Mail

Guru terbabit menafikan berbuat demikian ketika kelas berkenaan, atau menggalakkan budaya rogol selain menambah kenyataan mereka itu mencemar reputasinya dan memalukannya.

Oleh itu, beliau memohon satu perintah mahkamah agar pihak terbabit memadamkan kesemua kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya di semua laman sosial milik mereka dan pihak ketiga.

Pada Ogos lalu Ain Husniza dan bapanya dilaporkan menerima sepucuk surat tuntutan daripada seorang guru lelaki yang mendakwa difitnah anak-beranak terbabit.

Mereka dinamakan sebagai responden dalam surat tersebut. Antara lain mereka dituntut membuat permohonan maaf dan membayar ganti rugi bernilai RM1 juta atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

Ain Husniza dan bapa kemuka saman balas

Susulan isu ini, Ain Husniza dan bapanya akan membela diri di mahkamah dan turut memfailkan saman balas terhadap guru berkenaan.

Peguam mereka mengatakan pihaknya akan turut menamakan Menteri Pendidikan, Pengarah Pendidikan Selangor dan Pengetua sekolah sebagai defendan atas tuduhan gagal untuk melindungi Ain Husniza, lapor FMT.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Menteri Pendidikan menunjukkan pendirian tegas berhubung isu berkenaan.