Belgium Kenakan Peraturan Label Produk Penempatan Haram Israel

Israel Tidak Puas Hati Belgium Kenakan Peraturan Label Produk Dari Kawasan Penempatan Haram

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kerajaan Belgium baru-baru ini mengenakan peraturan meletakkan label jelas terhadap produk dari penempatan haram Israel di Tebing Barat bagi menunjukkan bahawa kawasan itu dibina di atas tanah milik rakyat Palestin.

Menurut laporan, kerajaan Belgium menegaskan peraturan tersebut adalah mengikuti undang-undang antarabangsa dan Eropah.

Pejabat Menteri Luar Belgium memaklumkan bahawa peraturan label tersebut dikuatkuasakan bagi membezakan produk yang dikeluarkan dari Israel dan wilayah Palestin.

Keputusan Belgium itu seiring dengan perjanjian yang telah dimeterai menerusi Mahkamah Tinggi Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2019 – memutuskan mana-mana negara anggota EU mesti mengenakan label pada produk yang dikeluarkan dari kawasan penempatan Israel.

Dalam perjanjian tersebut, pengguna perlu peka dengan barangan yang dikeluarkan dari kawasan kependudukan tidak sah. Namun begitu, kebanyakan negara Eropah memilih untuk tidak mematuhi polisi ini.

Tindakan kerajaan Belgium bagaimanapun mengundang reaksi tidak senang Israel. Menteri Luar Israel, Idan Roll dalam satu kenyataan mengutuk keputusan Belgium bahawa tindakan itu hanya akan membahayakan rakyatnya termasuk Palestin.

Ujarnya, peraturan tersebut sekaligus menunjukkan keengganan Belgium untuk menyumbang dan mendukung kestabilan serantau.

Idan juga memaklumkan elah membatalkan rundingan berencana dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Parlimen Belgium setelah negara itu mengambil keputusan melabel barangan buatan Isreal di Judea dan Samaria yang terletak di Tebing Barat.

Belgium Kenakan Peraturan Label Produk Penempatan Haram Israel

Sementara itu, Palestin menyambut baik keputusan Belgium dengan menyifatkan tindakan itu sebagai langkah tepat.

Perdana Menterinya, Mohammed Ishtaye, dalam satu kenyataan berkata, keputusan Belgium bersandarkan fakta bahawa penempatan Israel bercanggah dengan lunas undang-undang antarabangsa dan resolusi serta menyuarakan jajaran dengan nilai kebenaran, keadilan dan kebebasan.

Beliau juga menggesa negara lain untuk mengikuti jejak langkah Belgium dengan melabel produk penempatan Israel, mengutuk perluasan penempatan haram dan bertindak meletakkan tekanan bagi mengekang serangan penghuni di situ terhadap rakyat Palestin.

Mengikut catatan sejarah, Israel mengawal Tebing Barat ketika perang Asia Barat pada 1967 dan sejak itu, pihaknya membina puluhan penempatan di situ.

Tindakan itu disifatkan komuniti antarabangsa sebagai melanggari undang-undang antarabangsa.

Sumber: News.cn