Gua Dicerboh Dijadikan Rumah Ibadat

Gua Prasejarah Perak Diceroboh, Dijadikan Rumah Ibadat Undang Kritikan Netizen

Ceroboh gua dijadikan rumah ibadat.

Selain hutan rimba, gunung, air terjun, pantai dan pulau, Malaysia juga memiliki banyak gua yang menarik untuk diteroka. Malah, negara ini juga dikatakan rumah kepada sejumlah besar gua termasuk beberapa yang diiktiraf sebagai terbesar dan terpanjang di dunia.

Terdapat gua yang terkenal dengan tapak arkeologi yang mempunyai artifak berusia puluhan ribu tahun, malah ada yang mengandungi lukisan dinding purba yang boleh dilihat sehingga hari ini.

Namun, ada segelintir pihak telah menjadikan gua yang sekian lama dipelihara keadaan alam semula jadinya atas kepentingan tertentu.

Sejak beberapa hari lalu tular gambar sebuah gua prasejarah di Bandar Seri Botani di Ipoh yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Uzaer Sohigh.

Menerusi perkongsian tersebut, dia menunjukkan dua foto bertarikh Februari 2019 dengan lantai gua ditumbuhi satu daun iaitu spesies Monophyllaea yang menghiasi indah lantai gua tetapi telah kini dilupuskan dengan binaan struktur yang dilihat sebagai rumah ibadat.

Gua Dicerboh Dijadikan Rumah Ibadat
Sumber: Facebook
Gua Dicerboh Dijadikan Rumah Ibadat
Sumber: Facebook

Dia juga mempersoalkan mengapa tiada tindakan penguatkuasan dilakukan pihak berwajib memandangkan lokasi tersebut sepatutnya dipelihara kerana gua-gua batu kapur di Ipoh terletak dalam zon Geopark Lembah Kinta.

Untuk makluman, zon Geopark Lembah Kinta adalah menjadi tanggungjawab kepada kerajaan negeri untuk memelihara produk berteraskan alam semulajadi ini di tengah bandar yang mempunyai kepelbagaian aktiviti ekonomi dengan melaksanakan dasar mineral negeri perak yang tertumpu kepada elemen pemulihan dan pemeliharaan.

Ujarnya, isu yang diketengahkan jarang dibincangkan kerana khuatir ia membabitkan isu perkauman.

“Jangan salah faham. Ini bukan soal rasisme atau anti agama mana-mana. Sekalipun jika ada perancangan utk dibina masjid di dalam gua tanpa sebab munasabah, aku jgk yg akan jadi org pertama yang menentangnya, kerana ia tak masuk akal dan tiada keperluan.

“80% dari komrad caving aku adalah chinese, mereka semua ni jugalah yang lantang bersuara menentang pencerobohan tokong / kuil alaf baru yg haram di dalam gua2 semulajadi kita.

“Sesuatu tapak yang mempunyai aset alam semula jadi adalah hak semua untuk diwarisi, bukan milik eksklusif untuk satu kelompok yang mendiami semata,” tambahnya.

Melihat pada ruangan komen, netizen turut menyuarakan pandangan bahawa pihak kerajaan negeri Perak perlu melihat isu ini sebagai isu besar kerana ia melibatkan ekosistem pelancongan negeri itu.

Ipoh mempunyai kira-kira 150 buah gua prasejarah dengan anggaran usia mencecah 5,000 tahun termasuk Gua Matsoorat di Gunung Lang yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini kerana diceroboh kru produksi drama.

Memetik sumber Kosmo, mereka yang didapati bersalah menceroboh atau menduduki mana-mana gua tanpa kebenaran dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 iaitu sama sepertimana tindakan menceroboh tanah kerajaan lain.

Tindakan penguatkuasaan di bawah seksyen ini memperuntukkan denda sebanyak RM500,000, penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber: Uzaer Sohigh