Guru Terkilan Pelajar Sanggup Tiru Tugasan

‘Salahkan Pihak Lain Bila Ditegur’ – Guru Kecewa Pelajar Sanggup Tiru Tugasan, Kurang Usaha

Menjadi satu kebiasaan guru akan memberi tugasan kepada pelajar pada setiap hari. Hal ini bagi meningkatkan lagi kefahaman pelajar terhadap satu tajuk yang telah diajar.

Selain itu, bagi memberi latih tubi kepada pelajar supaya pelajar tidak cepat lupa apa yang telah di ajar.

Namun, belakangan ini ada sahaja timbul isu tugasan yang diberikan guru didakwa sedikit sebanyak telah membebankan para pelajar.

Tambahan pula, lebih mudah untuk meluahkan perasaan dengan klik hujung jari, lebih cepatlah orang ramai mengetahui cerita-cerita yang disebarkan.

Ada segelintir pelajar dilihat dengan bangganya menyatakan tidak menyiapkan kerja sekolah dan mempersoal kerja yang diberi.

Budaya ‘Tolong Jawab Semua Untuk Saya’ dalam kalangan pelajar

Rentetan isu ini, seorang guru meluahkan kekecewaan mengenai sikap segelintir pelajar.

Guru yang dikenali BiBi Lim, merupakan seorang penceramah Pendidikan Moral dan Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memuat naik hantaran di Facebook mengatakan satu budaya iaitu ‘Tolong Jawab Semua Untuk Saya’ dilihat semakin membarah dalam kalangan para pelajar.

Luahan kekecewaan guru tersebut berserta tangkap layar perbualannya dengan pelajar telah meraih lebih 6,500 perkongsian ketika artikel ini ditulis.

Katanya, pelajar-pelajar ini sanggup menyalin tugasan daripada hasil kerja orang lain semata-mata untuk menyiapkannya dengan cepat.

Malah, apabila ditegur kesalahan tersebut terus mendakwa guru terbabit tidak mahu bertolak ansur dan menjadi punca mereka ‘depressed’.

Guru Terkilan Pelajar Sanggup Tiru Tugasan
Sumber: Facebook
Guru Terkilan Pelajar Sanggup Tiru Tugasan
Sumber: Facebook

Menerusi ruangan komen, beliau menjelaskan bahawa Grup Calon Pendidikan Moral ini ditubuhkan sejak tahun 2012 secara sukarela untuk membimbing murid yang bakal menduduki mata pelajaran PM SPM.

“Saya selalu mengingatkan murid untuk mencuba dahulu sebelum bertanya supaya murid dapat sedar akan kelemahan sendiri. Memang saya sedia membimbing setiap murid yang mendahagakan tunjuk ajar.

“Cuma yang mengecewakan ialah murid ini hanya menghantar semua tugasan yang diberikan gurunya dan mengharapkan jawaban lengkap daripada saya untuk disalin. Saya menasihatinya supaya menuntut ilmu dengan cara yang betul akan tetapi murid tersebut tidak setuju.

“Sebagai guru, sekiranya kita tidak menegurnya, siapakah yang akan menegur dia lagi? Banyak masa saya berkorban untuk mendidik anak murid walaupun tidak dikenali. Sebagai pendidik, kita bukan sahaja membimbing murid-murid dari segi akademik tetapi juga patut mengutamakan sahsiah dan adab.

“Lagi-lagilah mata pelajaran Pendidikan Moral. Maafkan saya sekiranya saya terlalu tegas dalam bab ini,” ujarnya.

Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen mempersoalkan tentang adab di antara guru dan murid-murid dan orang ramai juga berasa marah dengan tindakan yang dilakukan oleh murid-murid berkenaan.