Bahaya Add Yours Challenge Scammer

‘Add Yours Challenge’ Di Instagram Undang Bahaya, Sudah Ada Yang Jadi Mangsa Scammer

‘Add Yours Challenge’ Di Instagram Undang Bahaya.

Tidak dinafikan bahawa gajet dan media sosial merupakan fokus utama dalam kalangan generasi zaman kini.

Instagram, Facebook mahupun TikTok sememangnya bikin ketagihan ramai orang lantaran platform komunikasinya yang interaktif, bebas dan rangkaiannya melangkau segenap benua.

Beberapa tahun belakangan ini, pelbagai cabaran yang menjadi ikutan pengguna media sosial dari serata dunia semata-mata untuk mengejar trend terkini.

Tapi pernahkan terfikir bahawa cabaran-cabaran sebegini walaupun dianggap sekadar hiburan boleh mendatangkan kesan buruk?

Baru-baru ini, muncul cabaran yang diberi nama ‘Add Yours Challenge’, melibatkan ciri terkini Instagram yang tanpa disangka boleh mengundang bahaya kepada modus penggodaman baharu.

Untuk makluman, ciri Add Yours adalah ciri terbaharu yang boleh digunakan di Instagram Stories. Melalui Add Yours, pengguna boleh membalas mesej melalui hantaran Insta Story dan belakangan ini, ciri tersebut sering digunakan sebagai kuiz atau cabaran oleh pengguna.

Pada awalnya, cabaran yang dimainkan pengguna media sosial hanyalah bersifat sederhana namun lama-kelamaan soalan yang diutarakan pula makin terperinci sehingga melibatkan maklumat peribadi seperti umur, nama panggilan, beza usia pasangan, tandatangan dan sebagainya.

Hal ini telah menjadikan perkara yang sepatutnya menjadi maklumat peribadi boleh diketahui umum. Lantas, maklumat ini kemudiannya boleh dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bahaya Add Yours Challenge Scammer
Sumber: Kompas

Tidak pasti siapa yang memulakan trend ini, namun ia telah pun membuka ruang kepada scammer mencari mangsanya.

Kes ini telah pun berlaku di Indonesia yang mana scammer berjaya menipu mangsa dengan menggunakan informasi yang dikongsi menerusi cabaran tersebut.

Difahamkan, mangsa telah ditipu sebanyak 35 juta rupiah oleh individu yang menyamar sebagai ibu saudaranya yang amat memerlukan wang.

Mangsa dikatakan terpedaya kerana scammer terbabit menyebut nama panggilan yang digunakan dalam kalangan keluarganya, yang disedari bahawa mangsa ada berkongsi maklumat itu menerusi ‘Add Yours challenge’.

Melangkaui era teknologi, tidak boleh untuk kita meletakkan sepenuhnya kesalahan pada ciri-ciri yang ditawarkan dalam media sosial terbabit.

Sebagai pengguna, kita seharusnya diingatkan sentiasa berhati-hati terutama perkara yang melibatkan data peribadi.

Sumber: VOI