Isu Android Box Haram

Kecoh Isu Hukum Haram Guna Android Box, Coretan Lelaki Ini Buat Ramai Buka Mata

Isu Hukum Haram Guna Android Box.

Tidak dinafikan penggunaan Android Box kini semakin meluas di Malaysia kerana peranti ini dianggap sebagai alternatif untuk mengakses pelbagai kandungan siaran dari seluruh dunia dengan mudah.

Android box juga merupakan alternatif untuk kita menonton siaran daripada internet terus kepada televisyen tanpa perlu menggunakan gajet seperti laptop atau telefon pintar.

Namun begitu, ada juga yang menggunakan perkhidmatan ini untuk mengakses siaran berbayar secara haram atas dan perkara inilah yang menjadi isu di negara ini.

Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa ke-649 yang bertajuk hukum membeli dan menggunakan Android Box.

Menurutnya, membeli Android Box adalah harus, namun untuk tujuan apakah pembelian itu dilakukan akan menentukan sama ada ia bertukar halal ataupun haram.

Ia berikutan pengguna peranti berkenaan mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang akan menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

Walaupun pada asalnya pembelian kotak Android itu adalah harus, namun sekiranya pembelian itu untuk tujuan mendapat akses siaran berbayar dengan cara salah maka ia adalah haram.

Bagaimanapun, fatwa yang dikeluarkan itu mendapat pelbagai reaksi netizen. Ada yang melenting dengan menyalahkan pembekal siaran tersebut sepatutnya berpada-pada dalam menawarkan harga beserta kandungan.

Android Box TV Berbaloi Mampu Milik

Sejurus isu ini hangat diperkatakan, seorang pengguna Facebook Khairul Abdullah atau juga dikenali sebagai Super Daddy turut berkongsi berkenaan isu tersebut.

Perkongsian yang dikatakan membuka mata ini telah meraih sebanyak 3.4k shares ketika artikel ini ditulis. Mungkin orang ramai boleh baca dan fahami sedalam-dalamnya apa yang cuba disampaikan oleh lelaki ini.

Tadi mufti keluarkan fatwa yang hukum membeli Android Box yang di dalamnya ada kandungan atau mengakses content tv berbayar seperti Astro adalah haram.
Yer ramai orang beli Android Box sebab nak tengok movie dan Astro free.

Bila mufti keluarkan hukum maka ramailah melenting. Orang melayu Islam sendiri bukan main melenting, katanya mufti berat sebelah, katanya mufti sokong Astro sedangkan Astro itu menindas pelanggan.

Sedih baca komen orang islam kita ni. Dah kau tak nak dengar cakap mufti kau nak dengar cakap siapa?

Astro adalah siaran berbayar, tak kiralah dia ulang cerita beratus kali, dia mahal ke dia apa ke tapi content dia itu hak dia. Dia beli dari pengeluar konten dan dia tayangkan.

Kita ada pilihan untuk tidak langgan dan tidak tengok kalau kita rasa Astro menganiaya kita. Tapi sebab kita nak juga tengok Astro maka kita beli android box yang didalamnya sudah ada apps Astro yang di’hack’ untuk kita akses siarannya.

Jadi sebab itulah hukumnya haram. Haram sebab siaran itu dicuri. Siaran itu hakmilik Astro, kita pi tengok free tak berbayar semua channel dia, semua movie dia.

Walaupun Astro tu pencuri dan penyangak, tindakan kita pergi curi pula dari penyangak itu tidak menjadikan perbuatan kita tadi harus. Ianya tetap haram, sebab mengambil atau menoton yang bukan hak kita. Hukumnya berdosa.

So, kalau kau rasa nak sangat tengok Astro maka langganlah. kalau rasa mahal kau langgan Netflix, atau Iflix, atau Unifi Tv atau apa sahaja? Tapi yang lain tak best macam Astro kan? So kau nak jugak Astro sebab ada Maharaja Lawak Mega?
Kau kalau jadi pengeluar konten, atau conten creator ni dan kau mengharap hasil langganan orang atau bayaran orang untuk tonton konten kau tapi orang pakat copy paste dan pakat tonton free. Sedih kau, kecewa wehh.

Ada pula tukang download movie dan share untuk orang ramai dalam facebook dan telegram khas. Dah mencuri dan share pulak hasil curian dengan orang lain. Alasannya alahhh depa dah kaya, tak heran aihh dengan yang kita download ni.
Memang depa dah kaya, mungkin depa tak kisah pun. Tapi kita kisah tak dengan perbuatan kita?

Kisah tak kita dengan perbuatan “mencuri” itu?
Berkat tak hidup kita alau kita asyik mencuri?
Ada yang tak curi movie, tapi curi wifi pun ada. Guna untuk buat kerja, buat bisnes dan cari makan untuk anak dan keluarga.

Gais, benda kecik-kecik ginilah yang kita selalu terlepas pandang.
Alah depa dah download penuh movie dalam Telegram tu, aku tumpang tengok jer. Semua cerita ada, KDrama banyak gila dalam tu wehh best. Bukan aku curi pun, depa download, aku tengok jer.

Kita tak rasa berdosa pun kan?
Aku pasti ramai yang tak setuju jugak dengan aku ni.
Tapi takpelah. Aku bersetuju dengan mufti dan aku nyatakan pendirian aku sebagai seorang jahil dan muftilah sumber rujukan aku.

Aku dulu pun pernah jugak download lagu, software dan movie pirate ni.
Tapi aku insaf waktu aku duduk Jerman.
Aku tanya kawan dan jiran aku orang Jerman ni kenapa dia ni “ikut buku” (patuh undang-undang) sangat? Kenapa dia beli semua software, kenapa tak download jer lagu-lagu atau movie, kenapa nak beli dan langgan bagai, boleh dapat free kan?

Dia jawab ringkas,
“God knows.”
Fuhh terus macam kena pelempang kejap. Orang bukan islam pun takut dengan tuhan. Aku?

Aku tak pernah anggap pun download movie atau software pirate tu berdosa. Aku tak pernah rasa aku mencuri. Tapi memang benar aku mencuri hasil usaha orang atau syarikat yang keluarkan software atau movie atau lagu dan sebagainya.

Jadi, aku tak download movie dah, aku bayar semua software yang aku guna untuk cari makan, tak download pirate dah, aku terminate Astro dah 11 tahun dan langgan Netflix. Aku tak download lagu dah, aku langgan jer Spotify. Bila rasa tak berguna bila jarang guna maka aku stop. Settle.

Benda undang kata tak boleh, aku tak buat. Benda yang kena bayar aku bayar. Tak mampu bayar aku tak beli, aku tak tengok. Duduk diam sudah.
Apa yang aku dapat?

Peace of mind.
Tak mahu ada rasa bersalah dan berdosa mencuri itu lagi.
Sekian.

Justeru, kita sebagai pengguna perlulah berhemah dan jujur.

Sumber: Mufti WP, FB Khairul Abdullah