Lelaki Dapat Hak Tiket Bayaran Balik AirAsia

Tak Setuju Ditawar Kredit Tiket, Lelaki Ini Berjaya Dapatkan Haknya Semula Dari AirAsia

Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia sering berhadapan isu bersama pelanggannya, berkaitan bayaran balik (refund) tiket penerbangan yang terpaksa dibatalkan berikutan wabak itu.

Ketika itu pihak AirAsia tidak mahu pelanggannya meminta bayaran balik, sebaliknya menerima kredit tiket penerbangan yang ditawarkan syarikat itu.

Namun, bagi lelaki ini yang merupakan pelanggan AirAsia mahu haknya dipulangkan semula dan tindakannya itu telah membuahkan hasil.

Tekad minta bayaran balik dari AirAsia

Memetik portal Malaysia Now, Nagendran menceritakan dia dan keluarganya merancang untuk melancong ke Kemboja pada Ogos. Namun, percutian itu terpaksa dibatalkan apabila negara perlu menutup sempadan bagi membendung wabak daripada terus menular.

Walaupun kecewa, dia akur dan memahami peraturan yang ditetapkan atas sebab yang perlu dielakkan namun ada satu perkara yang merumitkan.

Katanya, dia tidak faham cara syarikat penerbangan AirAsia Bhd mengendalikan situasi itu yang dikatakan tidak profesional sejak dari awal lagi.

Difahamkan, dia sekeluarga tidak menerima bayaran balik bagi tiket berharga hampir RM5,000 yang dibelanjakan dan hanya ditawarkan kredit tiket bagi tempahan perjalanan akan datang.

Lelaki Dapat Hak Tiket Bayaran Balik AirAsia

“Apabila anda bayar untuk sesuatu perkhidmatan dan ia tidak disediakan, wang itu harus dikembalikan sepenuhnya tanpa sebarang alasan,” kata Nagendran kepada MalaysiaNow.

“Saya bukan pemiutang tetapi pengguna yang membeli perkhidmatan. Simpan duit bayaran dan memberi alternatif adalah sama dengan jualan yang mengelirukan dan bukan amalan perniagaan yang beretika.”

Situasi itu menyebabkan Nagendran bertindak untuk memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) pada Julai tahun lalu.

Walaupun perbicaraan akhirnya dijadualkan pada Januari lalu atas sebab penangguhan akibat COVID-19, Nagendran masih kecewa apabila diberitahu mahkamah tidak dapat mendengar kesnya kerana ia bukan berada di bawah bidang kuasanya.

Dia kemudian dimaklumkan supaya mendapatkan mediasi daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Bagaimanapun, tindakan Mavcom disifatkan hanya cakap kosong kerana tiada tindakan yang jelas diambil bagi memaksa AirAsia membuat pembayaran.

Nagendran bertekad untuk terus memperjuangkan haknya sebagai pengguna, lalu segera ke Mahkamah Tuntutan Kecil di Shah Alam pada April lalu dengan tidak diwakili peguam.

Sepanjang proses perbicaraan mahkamah, difahamkan AirAsia tidak hadir dan memberi maklum balas sebanyak dua kali sehinggakan majistret mengeluarkan waran tangkap.

Majistret menetapkan bayaran balik kepada Nagendran sebanyak RM4,727.20 dengan tambahan kos RM100.

Jumpa pegawai AirAsia perjelas isu

Difahamkan, dia sendiri hadir ke ibu pejabat AirAsia bertemu pegawai terlibat untuk menjelaskan situasi tersebut.

“Saya tidak mahu sesiapa ditangkap hanya kerana sikap syarikat itu, namun ini wang saya,” katanya.

“Ia hak saya untuk dapatkan bayaran balik wang yang saya belanjakan untuk perkhidmatan.”

Katanya, dia tidak akan menerima pilihan selain wang yang dibelanjakan kerana tidak pasti situasi pada masa akan datang.

Akhirnya, segala usaha Nagendran berbaloi apabila wangnya dikembalikan dalam jangka masa yang dijanjikan – dalam tempoh tiga hingga tujuh hari bekerja walaupun terpaksa menghabiskan banyak masa dan tenaga.

Dalam pada itu, dia mengatakan tindakan syarikat berkenaan benar-benar salah.

Sumber: Malaysia Now