YouTube Pelajar Jepun Fasih Bahasa Melayu

‘Susunan Ayat Baik’ – Video Pelajar Jepun Fasih Bertutur Bahasa Melayu Buat Netizen Kagum

Video Pelajar Jepun Fasih Bertutur Bahasa Melayu Buat Netizen Kagum.

Tahukah anda, pemartabatan bahasa Melayu di luar negara kini bukan lagi asing malah di beberapa negara, sudah terdapat Kursus Pengajian Bahasa Melayu sejak sekian lama.

Kita sebagai penutur jati pastinya berasa bangga dan kagum apabila kaum atau warga asing boleh bertutur dan fasih bahasa ibunda.

Bukan selalu dapat kita temui rakyat negara luar lebih-lebih lagi negara maju berkongsi minat mendalami bahasa Melayu kerana kebanyakan daripada mereka hanya menguasai bahasa ibunda dan bahasa Inggeris.

BACA: Papan Tanda Di Korea Selatan Sudah Mula Sokong Penggunaan Bahasa Melayu

Seperti video yang tular baru-baru ini di Twitter apabila sekumpulan pelajar Jepun fasih bertutur bahasa Melayu telah menarik perhatian ramai.

Ia dikongsikan oleh salah seorang pelajar Jepun dari University of Tokyo yang fasih berbahasa Melayu menerusi saluran You Tube, Kouji Jepun.

Menerusi video berkenaan, dia mengadakan sesi soal jawab bersama kawan-kawannya sepenuhnya dalam bahasa Melayu mengenai Malaysia dan Bahasa Melayu.

YouTube Pelajar Jepun Fasih Bahasa Melayu

Mereka diajukan soalan seperti kenapa sukakan Malaysia dan apa ‘kejutan budaya’ yang mereka rasai apabila tiba di Malaysia semasa program pertukaran pelajar.

Antara jawapan yang diterima sebahagian pelajar Jepun ini:

“Saya suka Malaysia kerana kebaikan hati orang Malaysia.”

“Saya suka tengok corak yang cantik dan comel, jadi saya sangat suka fesyen wanita Melayu.”

“Saya sangat suka Malaysia, orang Malaysia sangat baik hati kepada orang asing.”

YouTube Pelajar Jepun Fasih Bahasa Melayu

Lebih menarik, para pelajar ini tertarik mendalami bahasa Melayu walaupun banyak lagi bahasa asing yang lebih popular untuk dipelajari kerana tidak ramai mempelajari bahasa dari negara Asia Tenggara.

Ada juga dalam kalangan mereka meminat bahasa Melayu kerana keindahan susunan dan juga kosa kata yang mudah.

Menjengah pada ruangan komen, rata-rata netizen kagum dan memuji gaya pertuturan para pelajar ini yang mana bagi kita sudah dikira cukup fasih walaupun mengambil masa hanya dua hingga tiga tahun.

“Mereka punya kosa kata dan susunan ayat lebih baik berbanding diri aku sendiri dan sebahagian besar rakyat Malaysia.”

“Semuanya bahasa Melayu baku…kagum!!!”