Jeff Bezos Manusia Masa Depan Cuti Di Bumi

Jeff Bezos Ramal Manusia Masa Depan Tinggal Di Angkasa Lepas, Bumi Hanya Destinasi Cuti

Kita biasa lihat kisah-kisah mengenai kehidupan di angkasa lepas dalam filem sains fiksyen dan mungkin ia bakal direalisasikan apabila Jeff Bezos meramalkan manusia pada masa depan akan menjadikan angkasa lepas sebagai kediaman mereka, manakala Bumi sebagai destinasi percutian.

Bezos yang merupakan pengasas firma Amazon dan Blue Origin berkata, beberapa kurun dari sekarang, manusia akan tinggal di dalam silinder-silinder gergasi di angkasa lepas, manakala silinder-silinder tersebut akan memiliki alam sekitar seperti di Bumi.

Katanya, silinder terapung itu mampu menempatkan sehingga sejuta orang dan mencipta semula graviti persekitaran bumi, lengkap dengan ‘sungai, hutan dan hidupan liar’ serta cuaca bersesuaian.

Beliau membuat ramalan demikian ketika tampil mengejut dalam satu perbincangan mengenai dasar angkasa lepas Amerika Syarikat (AS).

“Dalam masa beberapa ratus tahun dari sekarang, ramai manusia akan dilahirkan di angkasa lepas. Angkasa adalah rumah pertama mereka.

“Mereka akan lahir dalam koloni-koloni ini, hidup dalam koloni-koloni ini dan kemudian mereka akan melawat Bumi seperti anda melawat Taman Negara Yellowstone,” katanya.

Jeff Bezos Manusia Masa Depan Cuti Di Bumi
Sumber: Bloomberg

Menurut Business Insider, Bezos menyifatkan silinder gergasi itu akan mempunyai cuaca cerah sepanjang tahun dengan berkata tiada lagi hujan atau gempa bumi.

Sebelum ini, manusia paling kaya di Bumi ini pernah mengutarakan ideanya mengenai habitat untuk didiami di angkasa lepas yang dikenali sebagai ‘koloni O’Neill’.

Beliau menamakan koloni berkenaan sempena nama ahli fizik, Gerard O’Neill yang mengemukakan teori pada tahun 1976, bahawa planet-planet lain mungkin bukan tempat terbaik untuk menempatkan manusia di luar bumi.

“Walaupun anda mahu mengubah Planet Marikh atau melakukan sesuatu yang amat dramatik sepertinya, ia adalah amat, amat sukar. Sekali pun anda berjaya, kapasiti yang ada hanyalah dua kali ganda daripada Bumi.

“Maka, anda hanya akan menempatkan antara 10 bilion hingga 20 bilion penduduk,” katanya.

Sementara itu, Bezos juga mengesahkan bahawa beliau percaya makhluk asing wujud berikutan terdapat begitu banyak galaksi di alam semesta.

BACA: Bakal Ke Angkasa Lepas Julai Depan, Ramai Berharap Jeff Bezos Tidak Kembali Ke Bumi

Sumber: Business Insider