‘Wayar Elektrik Diletakkan Pada Kemaluan Untuk Dapatkan Pengakuan’, Ini Pendedahan Eksklusif Bagaimana Tahanan Uighur Diseksa Oleh Bekas Detektif China 1

‘Wayar Elektrik Diletakkan Pada Kemaluan’, Ini Pendedahan Eksklusif Bagaimana Tahanan Uighur Diseksa Untuk Dapatkan Pengakuan

Kekejaman China terhadap etnik Uighur bukanlah sesuatu yang rahsia lagi, biarpun mereka berkali-kali menafikannya. Di medium portal berita dan media sosial, banyak bukti yang didedahkan sama ada dalam bentuk gambar, video dan sebagainya.

BACA: China Didakwa Miliki ‘Penjara Rahsia’ Di Dubai Untuk Tahan Etnik Uighur, Pembangkang

Yang terbaharu, media CNN World mendedahkan secara eksklusif bagaimana tahanan Uighur ini diseksa dengan pendedahan daripada salah seorang detektif yang pernah terlibat dalam proses berkenaan.

Hanya memperkenalkan diri sebagai Jiang bagi melindungi keluarganya yang masih tinggal di China, temu bual selama tiga jam bersama CNN mendedahkan proses tahanan tersebut sebagai satu kempen penyeksaan yang sistematik terhadap etnik Uighur dalam sistem kem tahanan di sana.

Serbuan biasanya akan dilakukan pada waktu tengah malam, beratus-ratus pegawai polis bersenjatakan senapang akan menyerbu rumah-rumah komuniti Uighur di wilayah barat China. Mereka ditarik keluar dari rumah, digari, dipukul, diselubung dan diancam akan ditembak sekiranya menentang.

Tidak Mahu Bersubahat, AS Tekan China Tentang Isu Penindasan Etnik Uighur
Sumber: USC

Tidak kira lelaki, perempuan atau kanak-kanak semuda 14 tahun semua tahanan baru akan dipukul semasa sesi soal siasat sehingga ada yang melutut di lantai sambil menangis kerana tidak tahan.

“Semua orang menggunakan kaedah yang berbeza. Malah ada yang menggunakan rantai besi dan kunci serta wrecking bar untuk mendapatkan pengakuan.”

Bukan itu sahaja, ada yang akan diheret ke ‘kerusi harimau’, sebuah kerusi yang direka khas untuk melumpuhkan suspek atau digantung di siling, dipijak muka, diserang secara seksual, direnjat dengan menggunakan elektrik, dipaksa berjaga selama beberapa hari dan tidak diberi makan serta minum.

‘Wayar Elektrik Diletakkan Pada Kemaluan Untuk Dapatkan Pengakuan’, Ini Pendedahan Eksklusif Bagaimana Tahanan Uighur Diseksa Oleh Bekas Detektif China 1

Penyeksaan hanya akan berhenti apabila tahanan mengaku sebelum dihukum dengan tuduhan melakukan kesalahan keganasan dan dipindahkan ke penjara atau kem tahanan.

Sedangkan Jiang percaya tiada satu pun daripada ratusan banduan yang ditangkap terlibat dalam jenayah berkenaan.

Memberikan bukti bahawa identitinya sebagai bekas detektif yang terlibat dalam proses berkenaan menerusi gambar, video dan  kad pengenalan diri yang kebanyakannya tidak boleh disiarkan demi melindungi identitinya, Jiang turut mendedahkan apa yang dikatakan sebagai pembunuhan beramai-ramai di Xinjiang adalah cuma khabar angin yang berselindung di sebalik motif-motif tertentu dan penipuan secara terang-terangan.

Semasa pertama kali ditugaskan di Xinjiang, Jiang mengatakan bahawa adanya komuniti yang cuba mahu memecahbelahkan tanah air mereka, jadi kesemuanya harus dibunuh.

Pasukan yang terlibat dalam operasi akan diberikan senarai nama individu yang perlu mereka kumpulkan bagi memenuhi kuota rasmi bilangan individu Uighur untuk ditahan.

Dan semua orang perlu mencapai sasaran yang diberikan.

Semasa ditugaskan di Xianjing secara sementara, Jiang diberikan ganjaran dalam bentuk wang dan nilai yang diterima adalah dua kali ganda daripada gaji biasa dan faedah lain yang diterimanya semasa bertugas.

Taktik yang paling senang untuk mendapatkan pengakuan kata Jiang adalah dengan menyeksa secara seksual di mana dua wayar elektrik yang diikat pada hujung baton akan diletakkan pada kemaluan tahanan semasa mereka diikat.

Malah ada yang mengarahkan supaya tahanan lama merogol dan mendera tahanan baharu.

Memberi contoh kempen Strike Hard yang dilancarkan pada 2014 bagi mempromosikan program penahanan besar-besaran etnik minoriti di rantau berkenaan, Jiang memberitahu hanya kerana memakai tudung, memiliki janggut yang panjang atau memiliki terlalu ramai anak boleh menjadi sebab mereka dihantar ke penjara atau kem tahanan.