Insiden Kanak-Kanak Dirempuh Van Sekolah, Pemandu Dipercayai Tiada Permit 1

Insiden Kanak-Kanak Dirempuh Van Sekolah, Pemandu Dipercayai Tiada Permit

Sejak semalam, tular rakaman seorang kanak-kanak perempuan, Nur Alisha Safiya berusia tujuh tahun yang maut dilanggar van yang dinaiki yang diambil daripada CCTV berdekatan.

Dalam kejadian yang berlaku di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi itu, mangsa dikatakan turun dari van berkenaan dan berjalan di hadapan van sebelum dirempuh van yang dalam masa sama turut bergerak ke hadapan.

Insiden Kanak-Kanak Dirempuh Van Sekolah, Pemandu Dipercayai Tiada Permit 1
Tangkap layar daripada CCTV di lokasi berhampiran.

Namun disahkan meninggal dunia selepas mendapat rawatan kecemasan di hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan  Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata pemandu perempuan berusia 31 tahun yang terlibat dalam kejadian berkenaan dipercayai tidak mempunyai pemit van sekolah berikutan kenderaan yang digunakan adalah berwarna putih dan bukannya kuning seperti yang sudah ditetapkan selain daripada tidak tertera perkataan ‘van sekolah’  di badannya.

Pemandu yang ditahan pada semalam kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Kes turut dipantau bersama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkongsian terbaharu, nenek mangsa berkata mangsa pernah berkongsi mahu pergi jauh meninggal keluarga, namun tidak menyangka kata-katanya menjadi petanda arwah akan pergi meninggalkannya sekeluarga.