Fitnah Bomoh Angkara Kematian Zulfarhan

Bapa Luah Arwah Zulfarhan Mangsa ‘Serkap Jarang’, Fitnah Bomoh

Walaupun hukuman ke atas enam tertuduh dan 12 yang lain telahpun ditetapkan, insiden buli sehingga menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain ini tetap memberi kesan buat rakyat Malaysia terutama keluarga mangsa.

Bapa kepada Allahyarham Zulfarhan yakin anak kebanggaannya masih hidup jika tidak disebabkan oleh fitnah bomoh yang main serkap jarang menilik kononnya anaknya itu mencuri komputer riba.

Menurut Free Malaysia Today (FMT), Zulkarnain berkata, anaknya itu menjadi mangsa fitnah bomoh hingga maut selepas didera termasuk ‘diseterika’ rakan sekuliah.

“Dia (bomoh) tak ada bukti, main serkap jarang, tengok mangkuk ke, ape ke…Tak ada bukti, timbul (nama) anak saya,” katanya kepada FMT.

Laporan itu juga memberitahu luahan Zulkarnain itu sekali lagi mengangkat isu kecenderungan kalangan masyarakat Melayu menggunakan khidmat bomoh, khususnya untuk kerja menilik, meskipun bertentangan dengan ajaran Islam.

Semasa perbicaraan Zulfarhan pada 16 Mei 2018, seorang bomoh, Abdullah Md Seh, yang juga bapa kepada tertuduh Muhamad Ashraf Abdullah dilaporkan memberitahu mahkamah beliau mendapat ‘petunjuk’ bahawa Zulfarhan mencuri komputer riba.

Tok Bomoh itu dilaporkan berkata, ‘petunjuk’ itu diperoleh melalui gerak hatinya dan melihat nama mangsa timbul di pandangan.

Fitnah Bomoh Angkara Kematian Zulfarhan
Sumber: Fiksyen Shasha

Zulkarnain turut mempertikaikan dakwaan atas tertudugh itu atas kesalahan membunuh tanpa niat kerana anak sulungnya yang menjadi harapan keluarga itu disiksa selama dua hari.

Kedua ibu bapa Allahyarham Zulfarhan tidak dapat mengetepikan hakikat anak sulungnya itu diseksa selama dua hari berturut-turut walaupun kini reda dengan pemergian anak mereka.

“Ada dua hari arwah anak saya diseksa. Pada 21 dan 22 haribulan (Mei 2017). Kalau kata tanpa niat, kita boleh terima kalau 21 haribulan sahaja.

“Ini dah masuk hari kedua, adakah tanpa niat? Dua hari berturut-turut. Itulah saya sebagai bapa mempertikaikannya. Bukan pertikai keputusan mahkamah tapi niat mereka itu,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnain berharap masyarakat mengambil iktibar daripada kesan buruk penggunaan khidmat bomoh untuk tujuan yang jelas bertentangan dengan Islam.

Perpecahan, bermusuhan sehingga menyebabkan kematian berlaku angkara kepercayaan terhadap ramalan bomoh yang sudah jelas ia perkara yang dilarang dalam agama.

Sumber: FMT